Dato' Dr. Haji Ani Arope dilantik sebagai Pengerusi Majlis ITM ke-4 menggantikan Tan Sri Dato’ Sallehuddin Mohamed yang tamat tempoh pada 14 Februari 1989. Beliau berkhidmat bermula daripada 15 Februari 1989 sehingga 2 Mac 1992. Beliau dilahirkan pada 17 Mei 1932 di Sungai Bakap, Seberang Prai, Pulau Pinang dan menetap di Shah Alam, Selangor. Beliau berkelulusan M.Sc. (Agronomy & Production Economics), University of Vermont, USA pada tahun 1966.
Kerjaya beliau bermula sebagai Kadet Penolong Pertanian, Jabatan Pertanian Kelantan. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Profesor Adjung Pengurusan Sumber Manusia, Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Utara Malaysia, Pengerusi Bank Simpanan Nasional. Beliau merupakan Pengarah Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM), bumiputera pertama dilantik ke jawatan tertinggi dalam organisasi yang terkenal di dunia. Beliau juga adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad dari tahun 1990-1996 dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Guthrie Bhd. dari 1 Disember 1987-1 September 1992. Pada Jun 1991, beliau telah mendapat anugerah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Kerajaan Persekutuan. Pelantikan terakhir beliau adalah sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, Universiti Sains Malaysia pada tahun 1992 -2010.
Beliau adalah seorang yang tegas dan berintegriti dalam melaksanakan tugas yang dipikul. Beliau pernah mencadangkan supaya ITM dinaikkan taraf kepada universiti bagi menjadikannya sebagai pusat pengajian yang dinamik. Beliau berkata, langkah itu juga membolehkan ITM menganjurkan kursus ijazah dan melahirkan graduan yang berkaliber tanpa mengadakan kajian berkembar dengan universiti tempatan mahupun luar negeri. Perkara ini telah disuarakan oleh beliau dalam Majlis Konvokesyen ITM ke-34. Tan Sri Dato’ Dr. Haji Ani Arope meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya pada 20 Disember 2014 jam 5.10 pagi akibat barah prostat. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Sri Saenah Ahmad dan tiga anak selain anak angkat.
Rujukan
1. Shaping a Dream (1956-1999)
2. Bernama Library & Infolink Service