Tan Sri Datuk Wira Abdul Rahman Arshad dilantik sebagai Pengerusi Majlis ITM ke-5 menggantikan Tan Sri Dato’ Dr. Haji Ani Arope yang tamat tempoh pada 02 Mac 1992. Beliau dilahirkan pada 27 November 1936 Kampung Pinang, Masjid Tanah, Melaka. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Masjid Tanah dan seterusnya menamatkan pengajian menengah di Malacca High School pada tahun 1956. Sejak di bangku sekolah lagi beliau menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik sehingga berjaya terpilih sebagai pelajar Melayu yang julung-julung kalinya berjaya melanjutkan pelajaran ke University of Malaya, Singapura dan berjaya dianugerahkan Ijazah B.A (Hons) pada tahun 1960.
Beliau telah memulakan kerjaya sebagai seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) menyandang jawatan Penolong Pegawai Daerah di Negeri Sembilan, satu jawatan yang menjadi impian ramai pada masa itu. Namun atas cinta beliau terhadap pendidikan, beliau telah memecah rekod dengan secara sukarela melepaskan jawatan tersebut untuk terus menyambung pengajian di University of Malaya, Singapura sehingga mendapat Diploma in Education pada tahun 1961. Beliau telah diberi pengiktirafan untuk menjadi Guru di sebuah sekolah yang terkemuka di negara ini iaitu Malay College Kuala Kangsar (MCKK) dari tahun 1962-1964. Bakat dan ketokohan kepimpinan beliau mula terserlah apabila dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Pelajaran Pulau Pinang dari tahun 1965-1966 dan seterusnya Timbalan Ketua Pegawai Pelajaran Negeri Kedah pada tahun 1966-1967. Beliau dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pegawai Pelajaran Negeri Kelantan pada usia 31 tahun.
Sumbangan beliau tidak terhad di peringkat kementerian sahaja, malah penglibatannya meliputi jawatan-jawatan sebagai Ahli Majlis di beberapa universiti yang tekemuka dan di peringkat antarabangsa. Pada tahun 1992, beliau mendapat dua penghormatan iaitu D.Litt (Hon) Heriot-Watt University, Edinburgh dan Doktor Persuratan (Kehormat), Universiti Putra Malaysia. Manakala pada tahun 1994, beliau dianugerahkan D.Ed (Hon) dari University of East London.
Sumbangan beliau kepada UiTM bermula sejak tahun 1972, selaku Ahli Mesyuarat Majlis ITM bagi mewakili Menteri Pendidikan dan beliau juga dipilih menjadi Ahli Majlis ITM dari Oktober 1982-Mac 1992. Beliau sekali lagi menempa sejarah dengan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM yang pertama dari Oktober 1999-Oktober 2002. Pada Oktober 2002, Tan Sri Dato' Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad diberi penghormatan dan dilantik sebagai Pro Canselor UiTM sehingga kini.
Rujukan
- Shaping a Dream (1956-1999)
- Koleksi Penganugerahan Ijazah Kehormat UiTM
- Berita ITM Mac 1992