Kenangan indah Konvokesyen ke-50 Universiti Teknologi MARA yang berlangsung pada 13 hingga 18 November 1999 di Dewan Seri Budiman sentiasa terpahat dalam lipatan sejarah institusi ini. Majlis berprestij ini merupakan konvokesyen pertama selepas Institut Teknologi MARA dinaik taraf kepada Universiti Teknologi MARA pada 26 Ogos 1999, detik bersejarah yang diumumkan sendiri oleh YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, dalam Majlis Perhimpunan Perdana Siswazah ITM.
Majlis istimewa ini telah disempurnakan oleh Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UiTM. Kenaikan taraf ini turut membawa perubahan kepada struktur pentadbiran universiti, selaras dengan status baharu sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang penuh berdaulat. Majlis ini turut menyaksikan logo UiTM baharu yang digunakan sehingga kini.
Dengan semangat dan azam yang tinggi, para graduan ketika itu melangkah keluar sebagai alumni UiTM pertama, bersedia memainkan peranan penting dalam membina masa depan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Sebuah nostalgia gemilang yang menjadi lambang transformasi dan kebanggaan warga universiti hingga kini.
Sumber : Buku Konvokesyen Universiti Teknologi MARA ke -50. Koleksi Bahagian Arkib Universiti, UiTM Shah Alam.