Ucapan alu-aluan oleh Dekan Fakulti Perubatan 

Pengurusan Eksekutif Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah bersetuju menamakan Kompleks Auditorium Khalid Yusoff, Fakulti Perubatan UiTM sebagai tanda penghargaan dan penghormatan terhadap jasa serta sumbangan besar Allahyarham Profesor Emeritus Dato’ Dr Khalid Yusoff.

YBhg. Prof. Datuk Ts.Dr. Hajah Roziah Mohd Janor menandatangani plak perasmian Penamaan Kompleks Auditorium Khalid Yusoff

Majlis Perasmian Penamaan Kompleks Auditorium Khalid Yusoff ini telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datuk Ts.Dr. Hajah Roziah Mohd Janor pada 2 Disember 2022. Majlis turut dihadiri oleh keluarga Allahyarham, Profesor Datin Paduka Dr Khatijah Mohd Yusoff bersama ahli keluarga serta tetamu kehormat termasuk Rektor UiTM Cawangan Selangor, Dekan Fakulti Perubatan dan warga fakulti yang pernah berkhidmat bersama beliau. Kenangan bersama Allahyarham juga diabadikan di montaj Kompleks Auditorium Khalid Yusoff yang disediakan di saluran YouTube Fakulti Perubatan UiTM.

Petikan montaj Majlis Perasmian Penamaan Kompleks Auditorium Khalid Yusoff 
YBhg. Prof. Datuk Ts.Dr. Hajah Roziah Mohd Janor (tengah) bersama Profesor Dr. Ahmad Sazali Hamzah (Rektor UiTM Cawangan Selangor) serta keluarga Allahyarham Profesor Emeritus Dato’ Dr Khalid Yusoff

Allahyarham merupakan tokoh penting dalam pembangunan bidang perubatan UiTM. Antara sumbangan terbesar beliau ialah penubuhan kampus perubatan di Selayang dan Sungai Buloh, serta pembukaan Clinical Training Centre (CTC) Sungai Buloh, yang kini dikenali sebagai Pusat Pakar Perubatan UiTM (PPUiTM) – sebuah pusat latihan utama bagi pelajar dan pensyarah perubatan UiTM.

Sejak menyertai UiTM pada tahun 2003, Allahyarham telah menerajui Fakulti Perubatan sebagai Dekan dari 15 Mac 2004 hingga 1 September 2013. Beliau juga merupakan antara individu penting yang mencetuskan idea penubuhan Hospital Pengajar UiTM, yang akhirnya menjadi kenyataan apabila Hospital UiTM mula beroperasi pada April 2021. Hospital tersebut telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah pada 23 Julai 2022 dan kini dikenali sebagai Hospital Al-Sultan Abdullah.

Pemergian Allahyarham pada 5 April 2021 meninggalkan kesan mendalam kepada dunia perubatan negara dan antarabangsa. Beliau dikenang sebagai seorang tokoh ilmuwan yang berwawasan, berjiwa pendidik, dan berbakti tanpa lelah demi kemajuan institusi dan masyarakat.

YABhg. Tun Datuk Seri Panglima Hj. Ahmadshah Abdullah, Pro Canselor UiTM menganugerahkan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada Profesor Dato’ Dr Khalid Yusoff pada 20 Oktober 2018 semasa Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-89, Sidang Pertama di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam.

Sesungguhnya, Profesor Emeritus Dato’ Dr Khalid Yusoff adalah insan luar biasa dengan kerjaya yang mulia dan dedikasi yang tiada tandingan. Jasanya akan terus dikenang, ilmunya terus dimanfaatkan, dan legasinya akan kekal terpahat dalam sejarah UiTM. Ikuti sejarah sumbangan Allahyarham di pautan Penganugerahan gelaran Profesor Emeritus (2018) Profesor Dato’ Dr. Khalid Yusoff dan Fakulti Perubatan UiTM.