YABhg. Tun Datuk Seri Panglima Hj. Ahmadshah Abdullah, Pro Canselor UiTM menganugerahkan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada Profesor Dato’ Dr Khalid Yusoff pada 20 Oktober 2018 semasa Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-89, Sidang Pertama di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam.

Biografi Profesor Emeritus Dato’ Dr Khalid Yusoff 

Profesor Dato’ Dr Khalid Yusoff memulakan perkhidmatan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun 2004 sebagai Dekan Fakulti Perubatan. Sepanjang hampir 10 tahun berkhidmat di UiTM, beliau banyak menyumbang kepada universiti khususnya, dan negara amnya, melalui kesarjanaan akademik, kepimpinan universiti, kepakaran kardiologi serta khidmat masyarakat. Beliau bukan sahaja aktif di peringkat fakulti dan pengurusan universiti, malah dikenali sebagai Pakar Kardiologi tersohor yang telah melatih puluhan pakar kardiologi serta ratusan pakar perubatan dan doktor perubatan.

Sebagai profesor dalam bidang perubatan, beliau memiliki kelulusan Bachelor of Medicine and Bachelor of Surgery (MBBS) dari University of Melbourne dan menjalani latihan kepakaran kardiologi di University of Newcastle-upon-Tyne, United Kingdom, di mana beliau memperoleh Membership of the Royal College of Physicians, United Kingdom [MRCP(UK)]. Sekembalinya ke tanah air, beliau menubuhkan Makmal Elektrofisiologi Klinikal Jantung pertama di Malaysia ketika berkhidmat di Fakulti Perubatan, UKM. Kepakarannya diiktiraf melalui pelbagai anugerah dan gelaran antarabangsa termasuk FRCPE, FRCP Lond., FRCP Glasg., FACC, FNHAM, FAMM dan FASc.

Antara anugerah yang pernah diterima ialah Gold Medal Award of the Royal College of Physicians of London, Hewlett-Packard International Award dan Albert Schweitzer Gold Medal Award dari World Academy of Medicine. Pada tahun 1995, beliau dilantik sebagai Profesor Perubatan (Kardiologi) – anak watan pertama menyandang jawatan ini. Sebagai Dekan Fakulti Perubatan UKM, beliau menyusun semula pengajian perubatan, membangunkan Hospital Pengajar UKM, menubuhkan Pusat Jantung UKM, UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI) dan Majlis Dekan-Dekan Perubatan Malaysia.

Pada tahun 2004, beliau dilantik sebagai Dekan Pengasas Fakulti Perubatan UiTM. Kurikulum yang dibangunkan berkonsepkan “hybrid curriculum” berasaskan asas sains kukuh dan nilai kemanusiaan tinggi, termasuk pengenalan kursus Introduction to Medicine dan Shadow Housemanship. Pelbagai kemudahan moden seperti Muzium Perubatan, Makmal Kemahiran Klinikal, Makmal Komputer dan Perpustakaan Perubatan dibangunkan. Beliau turut menubuhkan International Academic Advisory Board melibatkan pakar dari Imperial College London, Melbourne University, Baylor College of Medicine dan Harvard.

Hospital Sungai Buloh dan Selayang dijadikan hospital pengajar, di samping pembangunan Pusat Jantung dan Kardiotorasik UiTM, Institute for Molecular Biology (IMB) serta The Centre for Translational Research and Epidemiology (CenTRE). Hasil kepimpinan beliau, Fakulti Perubatan UiTM mendapat akreditasi penuh 5 tahun pada penilaian pertama oleh Majlis Perubatan Malaysia pada 2008 – pencapaian yang jarang berlaku.

Di peringkat antarabangsa, beliau menjalin kerjasama dengan Harvard University, McMaster University dan Melbourne University. Beliau menerima pengiktirafan seperti Honorary Fellowship of the Royal Australasian College of Physicians (FRACP Hon.), Honorary Fellowship of the Philippine College of Physicians (FPCP Hon.) dan Fellowship of the Islamic World Academy of Sciences (FIAS).

Selepas menamatkan perkhidmatan di UiTM pada 2013, beliau dilantik sebagai Naib Canselor dan Presiden UCSI University, di mana beliau memacu pertumbuhan pesat institusi itu sehingga diiktiraf antara universiti swasta terbaik di Malaysia dan tersenarai dalam 500 universiti terbaik dunia.

Walaupun berada di UCSI, beliau tetap berkhidmat di Hospital dan Kampus UiTM Selayang sebagai pakar kardiologi, pendidik serta penyelidik. Bidang kajian beliau meliputi kesan sosioekonomi terhadap penyakit kardiovaskular, jurang penjagaan hipertensi, penggunaan polypill serta pelbagai kajian klinikal antarabangsa seperti PURE, REDISCOVER, TIPS-3, COMPASS, ODYSSEY CV Outcomes dan HOPE-4.

Keunggulan beliau diiktiraf melalui penganugerahan Ijazah Kehormat Doctor of Medical Science (honoris causa) oleh University of Melbourne pada 2014, serta Darjah Kebesaran Diraja Sultan Kelantan – Darjah Setia Mahkota Kelantan (PSK) dan Dato’ Paduka Setia Mahkota Kelantan (DPSK).

Kini, Profesor Dato’ Dr Khalid Yusoff terus dikenang sebagai tokoh ilmuan dan pemimpin akademik yang berwibawa, yang telah mengangkat imej UiTM serta memartabatkan bidang perubatan kardiologi di Malaysia dan di pentas antarabangsa. Atas jasa dan sumbangannya, UiTM menganugerahkan beliau gelaran Profesor Emeritus.

Sumber : Buku Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM ke 89 (2018) https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/9531/2/ebookkonvo89melaka.pdf