Yang Berhormat Senator Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr Ibrahim Shah Abu Shah
YABhg. Tun Datuk Seri Panglima Hj. Ahmadshah Abdullah, Pro Canselor UiTM menganugerahkan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada Yang Berhormat Senator Tan Sri Dato' Seri Dr Ibrahim Shah Abu Shah di Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA Ke-87 pada 14 Oktober 2017 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM

Biografi Yang Berhormat Senator Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr Ibrahim Shah Abu Shah

YB Senator Tan Sri Dato' Seri Dr Ibrahim Shah Abu Shah memulakan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pulai dan Sekolah Kebangsaan Tedong, Melaka sebelum melanjutkan pengajian di Sekolah Tinggi Melaka. Dengan kegigihan beliau dalam menuntut ilmu, pada tahun 1971 beliau memperoleh Diploma Pentadbiran Awam dari Institut Teknologi MARA (ITM), seterusnya melanjutkan pengajian di Ohio University, Amerika Syarikat dan menerima Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (B.A. Economics) serta Ijazah Sarjana Sosiologi (M.A. Sociology) pada tahun 1975. Pada tahun 1987, beliau berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Government and Politics dari University of Maryland, Amerika Syarikat. Kepakaran beliau diiktiraf apabila menerima penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat (Ekonomi) daripada Universiti Tashkent dan pengiktirafan sebagai Chartered Fellow, The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT), United Kingdom pada tahun 2003. Beliau turut menerima keahlian sebagai Fellow, Chartered Institute of Marketing (CIM), United Kingdom pada tahun 2007 dan Ijazah Doktor Kehormat Undang-Undang (HonLLD) daripada Teeside University, United Kingdom.

YB Senator Tan Sri merupakan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-2, dan alumni ITM/UiTM pertama yang dilantik ke jawatan tersebut untuk tempoh sembilan tahun bermula 1 Januari 2001 hingga 31 Disember 2009. Beliau memulakan kerjaya di ITM pada tahun 1975 sebagai Pensyarah dan Profesor di Fakulti Pentadbiran dan Undang-Undang (1975–1994), Profesor di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM (1994–2009) dan Profesor Adjung di Ohio University, Amerika Syarikat (1995–2009). Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan penting seperti Pegawai Eksekutif, Bahagian Pentadbiran, Perbendaharaan Malaysia (1971–1972), Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar ITM Shah Alam (1976–1982), Dekan Hal Ehwal Pelajar ITM (1982), Provos ITM Sarawak (1989–1995), Timbalan Rektor (Pengurusan) ITM (1995–1998) dan Timbalan Naib Canselor (Akademik) UiTM (1998–2000).

Sebagai Naib Canselor, beliau memperkenalkan 21 strategi pembangunan universiti yang selari dengan keperluan abad ke-21 dan melancarkan strategi Aspirasi UiTM ke Arah World Class University bersempena ulang tahun ke-50 pada tahun 2006. Beliau berjaya membawa UiTM mencapai pengiktirafan antarabangsa, termasuk pensijilan ISO 9001:2000, Anugerah Kualiti Perdana Menteri 2008, dan pelbagai akreditasi profesional antarabangsa seperti ACCA, CIMA, CIOB, ICSA, IEEE, dan Washington Accord bagi Fakulti Kejuruteraan UiTM. UiTM di bawah kepimpinannya juga mengukuhkan rangkaian kerjasama dengan universiti luar negara di UK, Rusia, Finland, Perancis, Jerman, Yemen, Pakistan, Australia, New Zealand dan China.

Selain akademik, YB Senator Tan Sri aktif dalam politik sejak 1968 sebagai ahli UMNO, memegang jawatan antaranya Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kg Pulai, Pengerusi Kelab UMNO Carbondale (USA), Presiden Kelab UMNO Washington D.C., Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan UMNO Malaysia, Timbalan Pengerusi Majlis Permuafakatan Barisan Nasional Parlimen Shah Alam, dan Senator Dewan Negara (2014–kini). Beliau turut menubuhkan Yayasan Minda pada 2014 untuk membentuk sikap dan pemikiran generasi muda.

Beliau juga banyak terlibat dalam badan beruniform dengan menubuhkan Pasukan Kesatria ITM (1976) dan ROTU ITM (1980), serta dilantik sebagai Komandan Kehormat PALAPES UiTM (2001–2006) dan Komandan Kor SUKSIS UiTM (2007–2009). Di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, beliau memegang pelbagai jawatan seperti Ahli Lembaga Pengarah Majlis Peperiksaan Malaysia, Presiden International Federation of Training and Development Organization, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Terbuka Malaysia, Ahli Lembaga PTPTN, dan Chairman International Institute of Plantation Management.

Atas jasa dan sumbangannya, beliau menerima pelbagai darjah kebesaran termasuk PSM (Panglima Setia Mahkota), PJN (Panglima Jasa Negara), DCSM, DPMK, SPSK, dan pelbagai anugerah antarabangsa seperti Global Human Resource Excellence Award, Outstanding American Alumnus Award, Asia HRD Congress Award, Malaysian Business Leadership Award, dan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Melaka. Pada 15 Julai 2017, beliau dinobatkan sebagai Ikon Negaraku kategori Pendidikan oleh Kerajaan Malaysia.

Yang Berhormat Senator Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr Ibrahim Shah Abu Shah menerima cenderamata kenangan daripada YABhg. Tun Datuk Seri Panglima Hj. Ahmadshah Abdullah, Pro Canselor UiTM

Sebagai penghargaan atas sumbangan besar beliau kepada pendidikan tinggi negara, Universiti Teknologi MARA menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada YB Senator Tan Sri Dato' Seri Dr Ibrahim Shah Abu Shah.

Sumber : Buku Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA Ke-87 (2017) (https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/19636/6/19636.pdf)