
Tan Sri Dato' Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar merupakan individu yang cukup sinonim dengan Universiti Teknologi MARA. Inisiatif beliau dalam memperjuangkan pendidikan anak Melayu dan Bumiputera yang tercicir kerana kemiskinan masih diteruskan sehingga hari ini.Umum sedia maklum bahawa beliau ialah Naib Canselor UiTM yang ketiga. Selain berkhidmat dalam bidang pentadbiran dan akademia, beliau ternyata telah banyak memberi sumbangan tenaga dan kepakaran dalam bidang pengurusan sumber air dan kejuruteraan hidraulik.Bahkan, sejak tahun 2001 hingga kini, beliau telah dilantik sebagai profesor pakar di University of Stuttgart, sebuah universiti yang tersohor di Jerman.

Selama 15 tahun menyumbang tenaga dan kepakaran, beliau telah dianugerahkan dengan ljazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Awam oleh universiti tersebut. UiTM turut berbangga kerana beliau adalah satu-satunya ilmuwan dari luar benua Eropah dan anak Melayu pertama yang telah mendapat pengiktirafan berprestij itu. Aspirasi beliau dalam menaik taraf pendidikan Melayu dan Bumiputera turut diiktiraf dan diperkukuh apabila YAB Perdana Menteri Malaysia telah melantik beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumputera Peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam.
Biografi Tan Sri Dato’ Sri Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar
Tan Sri Dato’ Sri Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar dilahirkan pada 9 Januari 1952 di Pulau Pinang, Malaysia. Beliau anak sulung daripada sembilan adik-beradik. Ayahnya, Abu Bakar bin Iskandar berkhidmat sebagai anggota polis manakala ibunya, Halimah binti Sheikh Daud, seorang suri rumah. Pada tahun 1970, Sahol Hamid memulakan kembara ilmu yang melakari sejarah awal kehidupannya di Institut Teknologi MARA (ITM) apabila diterima bagi mengikuti kursus pradiploma. Kegigihan yang dipamerkan melayakkan beliau untuk menyambung pelajaran di peringkat diploma dalam jurusan kejuruteraan. Seterusnya, beliau mengorak langkah untuk mengikuti pengajian di peringkat Diploma Lanjutan Kejuruteraan Awam, sebelum berkembara menjejaki kesarjanaan di Amerika Syarikat di bawah Skim Tenaga Pengajar Muda ITM. Pada tahun 1980, beliau kembali ke tanah air untuk mula berkhidmat sebagai pensyarah ITM setelah meraih dua ijazah sarjana dari Colorado State University, iaitu M.Sc. in Civil Engineering dan M.Sc. in Economics.
Sepanjang perkhidmatannya di UiTM, selain memenuhi tuntutan sebagai pensyarah, Sahol Hamid telah diberi kepercayaan menyandang jawatan sebagai pentadbir akademik di pelbagai peringkat kepimpinan. Ini termasuklah Ketua Kursus Jabatan Kejuruteraan Awam (1982-1983), Timbalan Ketua Pusat Pengajian Persediaan (1984-1985), Timbalan Ketua Pembangunan dan Pembinaan Kampus ITM (1986-1988), Penolong Pengarah Hal Ehwal Akademik (1992-1994), Penolong Rektor Hal Ehwal Akademik (1994-1995), Penolong Naib Canselor Pengantarabangsaan (1996-1999), Penolong Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (2000-2001), Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam (2002-2003), Rektor UiTM Kampus Pulau Pinang (2003-2004) dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (2004-2007).
Setamat tempoh pelantikan sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, beliau telah dipinjamkan ke Kementerian Pengajian Tinggi bagi menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Pejabat Pengurusan Projek (2007-2009). Pada 1 Januari 2010, ibarat sirih pulang ke gagang, beliau kembali ke UiTM setelah dilantik sebagai Naib Canselor UiTM yang ke-3. Setelah empat dekad meniti kehidupan sebagai budak ITM dan seterusnya warga akademik ITM/UiTM, Sahol Hamid mengakhiri perkhidmatan cemerlangnya pada 31 Disember 2015.
Sepanjang tempoh enam tahun beliau menerajui UiTM, pelbagai usaha telah diketengahkan bagi mempertingkatkan jenama UiTM dalam pelbagai bidang ilmiah dan kesarjanaan, di samping memperkukuh peranan UiTM sebagai penyumbang utama modal insan dan sumber tenaga negara. Di bawah kepimpinan beliau, UiTM juga telah mempamerkan kesungguhan memupuk ciri keusahawanan dalam kalangan warga dan pelajar sehingga diiktiraf kerajaan sebagai universiti keusahawanan.
Pembabitan serta peranan beliau dalam memperkasa bidang kepakarannya melangkaui sempadan negara. Pada tahun 2000, beliau dilantik sebagai Profesor Pelawat Fakulti Kejuruteraan Awam, University of Stuttgart, Jerman, di bawah WAREM (Water Resources Engineering). Sehingga tahun 2016, beliau telah 17 tahun menjadi pensyarah pelajar pascasiswazah di Stuttgart selain menyelia pelajar PhD. Pada tahun 2011, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Awam (Dr-Ing. E. h.) oleh University of Stuttgart, menjadikannya satu-satunya bangsa Melayu dan cendekiawan Asia yang menerima penghormatan itu sejak universiti tersebut ditubuhkan pada tahun 1829. Pengiktirafan ini adalah hasil sumbangan luar biasa beliau dalam bidang pengurusan sumber air dan kejuruteraan hidraulik, selain memupuk hubungan kukuh Malaysia-Jerman khususnya dalam bidang sains dan kejuruteraan.
Selain pencapaian akademik, beliau mengekalkan kelayakan sebagai Jurutera Profesional Berdaftar di bawah Lembaga Jurutera Malaysia. Kepakaran beliau merangkumi sistem kawalan banjir, hidrologi, hidraulik, kejuruteraan alam sekitar, simulasi komputer, model hidrologi dan hidraulik, analisis ekonomi sumber air, pembinaan bangunan, kemudahan infrastruktur, serta pengurusan projek. Atas sumbangan ini, beliau menerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Kerajaan Malaysia bagi Pembangunan Negara (2010), Anugerah Kepimpinan Cemerlang Pendidikan (2010), Anugerah Sains Kebangsaan (1997), dan Anugerah Khidmat Cemerlang ITM (1993).
Beliau juga menerima beberapa Darjah Kebesaran termasuk Panglima Setia Mahkota (PSM) (2013), Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) (2012), Dato' Paduka Mahkota Selangor (DPMS) (2012), Dato' Paduka Mahkota Kelantan (DKMK) (2010), Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) (2000), Darjah Seri Melaka (BSM) (1997), Darjah Johan Negeri (DJN) (1997), dan Bintang Cemerlang Negeri (BCN) (1996).
Walaupun telah bersara, Tan Sri Sahol Hamid kekal aktif menyumbang kepada masyarakat. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera yang dilancarkan pada 21 Mac, bagi membantu 150,000 pelajar miskin luar bandar, pedalaman dan bandar yang tercicir dalam pendidikan. Pepatah Melayu ada menyebut, “Benih yang baik kalau dicampak ke darat menjadi gunung, kalau dicampak ke laut menjadi pulau”. Seandainya dikias, Sahol Hamid adalah benih yang menjadi gunung dan pulau, menakhodai UiTM sehingga mencapai kecemerlangan sebagai institusi pengajian tinggi yang membudayakan ilmu dan mengangkat martabat bangsa.
Dengan pencapaian yang cemerlang dan luar biasa, Universiti Teknologi MARA dengan penuh sukacita menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar di Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke 84 pada 23 April 2016. Anugerah disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama (Dr) Arshad Ayub, Pro Canselor UiTM.
Maklumat lanjut berkenaan Naib Canselor UiTM ke - 3 ini di pautan https://library.uitm.edu.my/uitmmemory/tokoh/naib-canselor/naib-canselor-uitm-yang-ketiga-tan-sri-dato-sri-profesor-ir-dr-sahol-hamid-bin-abu-bakar
Sumber : Buku Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke 84 (https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/112959/1/112959.pdf)