Universiti Teknologi MARA (UiTM) memikul tanggungjawab yang besar bukan sahaja dalam menyediakan pendidikan berkualiti, tetapi juga dalam memperkukuh budaya nilai murni seperti kejujuran, amanah, dan integriti dalam kalangan warga universiti serta pelajar. Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki menegaskan bahawa Universiti Teknologi MARA (UiTM) perlu menjadi contoh teladan kepada institusi lain dalam usaha memperkukuh dan menegakkan budaya integriti.
Sementara itu, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin berkata, majlis IBR pada hari ini sangat bermakna dalam memberikan penekanan kepada pentingnya menangani isu rasuah. “Majlis Mesyuarat Eksekutif UiTM telah bersetuju untuk menginstitusikan penganjuran majlis IBR ini apabila berlakunya lantikan ketua jabatan baharu dengan menetapkan 5 November setiap tahun sebagai Hari Integriti peringkat UiTM. “UiTM turut bersama masyarakat menyambut Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA). Ini menunjukkan manifestasi kesungguhan UiTM untuk membudayakan integriti secara menyeluruh pada peringkat universiti, nasional dan antarabangsa,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa "Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) memberi penekanan terhadap komitmen dan janji yang dilafazkan secara sukarela oleh kepimpinan serta warga sesebuah organisasi atas kapasiti individu. Langkah ini, katanya, bertujuan memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah serta menjauhkan diri daripada sebarang bentuk salah laku atau perlakuan rasuah." Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata demikian ketika menyaksikan Lafaz IBR Pengurusan Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang diketuai oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, bertempat di AEON Mall, Shah Alam, hari ini.
Turut diadakan Peluncuran Buku Strategi Integriti UiTM 2026-2030 dan Pembangunan Sistem Audit Pematuhan Etika UiTM.
Bahagian Arkib Universiti (BARU) telah menerima penyerahan Rekod Penting yang terdiri daripada rakaman gambar plak Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Universiti Teknologi MARA tahun 2025 dan Strategi Integriti 2026-2030 serta plak Pelancaran Buku Pelan Integriti tahun 2014 dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) tahun 2017. Penyerahan ini telah berlaku pada 3 November 2025 bertempat di pejabat Unit Integriti (sementara). Penyerahan Rekod Penting ini telah diserahkan oleh Encik Mohd. Hafiz Ramlee (Pengarah Bahagian Integriti) kepada Puan Siti Salwa A.Rahman mewakili Bahagian Arkib Universiti (BARU).