Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan penuh rasa bangga mengumumkan pelantikan Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin sebagai Profesor Adjung Keusahawanan pada 6 November 2025, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan impak luar biasa beliau dalam dunia industri.

Gelaran Profesor Adjung, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, diberikan kepada tokoh profesional atau korporat yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang tertentu, bagi menyumbang sebagai tenaga pengajar sambilan di institusi pengajian tinggi. Pelantikan ini membuktikan bahawa Dato’ Sri Siti bukan sekadar figura seni tersohor, tetapi juga usahawan berwawasan yang berjaya membina empayar menerusi jenama SimplySiti, BeauSiti dan Afiya by Siti Nurhaliza — jenama halal berteraskan kualiti, nilai budaya dan keaslian.

Kejayaan beliau diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa melalui anugerah seperti Celebrity Woman Entrepreneur of The Year 2019 dan OIC Biz Jewels of the Muslim World Awards 2014. Lebih daripada sekadar kejayaan perniagaan, Dato’ Sri Siti turut menyerlah sebagai insan berhati mulia melalui Yayasan Nurjiwa dan kempen SimplySiti Di Hati, yang membantu kanak-kanak sakit jantung serta komuniti yang memerlukan.

Sebagai Profesor Adjung di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM, beliau akan terlibat dalam ceramah industri, sesi perkongsian dan bimbingan pelajar, menjadikan pengalamannya sebagai inspirasi kepada generasi muda.

Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin menyerahkan Surat Pelantikan Profesor Adjung kepada Siti Nurhaliza di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UiTM
Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata pelantikan Siti Nurhaliza, 46, selama dua tahun bermula 15 Oktober 2025 hingga 15 Oktober 2027 itu adalah antara langkah signifikan UiTM dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan universiti. Beliau berkata pelantikan Siti Nurhaliza juga merupakan pengiktirafan UiTM terhadap sumbangan besar penyanyi kelahiran Temerloh, Pahang itu bukan sahaja sebagai ikon seni negara tetapi juga sebagai usahawan wanita berdaya saing. Pelantikan ini menghubungkan dunia akademik dengan realiti industri — seiring dengan misi UiTM melahirkan graduan yang berdaya saing, berjiwa empati dan beraspirasi tinggi. Dato’ Sri Siti Nurhaliza membuktikan bahawa kejayaan sejati bukan sekadar keuntungan, tetapi manfaat yang diberi kepada masyarakat.
Siti Nurhaliza (duduk) menandatangani buku pelawat di Pejabat Naib Canselor disaksikan oleh Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin (kanan), 

Profesor Ts. Dr Shafinar Haji Ismail, Dekan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (kiri) dan Dato' Sri Khalid bin Mohamad Jiwa.

Siti Nurhaliza, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan Profesor Ts. Dr Shafinar Haji Ismail dalam sesi bersama pihak media.
(Duduk dari kiri) Profesor Ts. Dr Shafinar Haji Ismail, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Siti Nurhaliza dan Dato' Sri Khalid bin Mohamad Jiwa bersama warga UiTM semasa Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Profesor Adjung kepada Siti Nurhaliza di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UiTM
powered by social2s