YBhg. Tan Sri Dato' Sri Haji Mohd Khamil bin Jamil telah dilantik sebagai Pengerusi Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang ke- 8 bagi tempoh tiga (3) tahun berkuat kuasa mulai 4 November 2024 hingga 3 November 2027.
YBhg. Tan Sri Dato' Sri Haji Mohd Khamil bin Jamil berkelulusan Bachelor of Law (University of London) School of Administration and Law, ITM Shah Alam memiliki pengalaman luas dalam dunia korporat dan pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad selama sepuluh (10) tahun dari tahun 2006. Beliau seterusnya dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif DRB-HICOM Berhad, Pos Malaysia Berhad dan Proton Holdings Berhad sepanjang tempoh 2016 hingga 2018.
Selain itu, YBhg. Tan Sri Dato' Sri Haji Mohd Khamil bin Jamil juga bukanlah figura baharu dalam dunia pendidikan tinggi negara. Semasa berkhidmat di DRBHICOM Berhad, beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah dan Pro-Canselor DRB-HICOM University of Automotive Malaysia. Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dari tahun 2013 hingga 2014 dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dari tahun 2014 hingga 2016.
Kementerian yakin dengan pelantikan YBhg. Tan Sri Dato' Sri Haji Mohd Khamil bin Jamil sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM akan dapat meningkatkan tadbir urus profesional UiTM menerusi perencanaan baharu melibatkan pelbagai sektor berkepentingan bagi memperkukuh UiTM agar lebih berdaya saing sebagai sebuah universiti komprehensif di Malaysia.
Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YBhg. Datuk Prof. Emeritus Dr. Raduan Che Rose atas sumbangan beliau sepanjang menerajui UiTM sebelum ini.
Sumber:
1. Siaran Media KPT :