Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Zaidee Laidin dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM ke-4 menggantikan Tan Sri Dr. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin yang tamat tempoh pada 30 Jun 2015. Beliau dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak pada 1 April 1943. Beliau memperolehi Diploma Kejuruteraan Elektrik, Brighton College of Technology, United Kingdom (1966), MSc. Teknologi Ekonomi (Pengurusan dan Sains Industri), Universiti Stirling, Scotland (1974), Doktor Kehormat Teknologi, Oxford Brookes University (1996), Doktor Falsafah University Stirling, Scotland (1996), Profesor Kehormat Universiti Napier (1999).

Ahmad Zaidee ialah seorang tokoh yang tidak asing bagi warga UiTM kerana pernah menerajui Institut Teknologi Mara (ITM) ketika ITM dalam proses peralihan untuk dinaik taraf ke status sebuah universiti. Pelantikan beliau sebagai Pengarah ITM berkuat kuasa pada 1 Januari 1994 sebelum jawatan tersebut dinaik taraf kepada Rektor ITM pada 1996. Apabila status ITM bertukar menjadi sebuah universiti pada 26 Ogos 1999, perkhidmatannya diteruskan dan beliau dilantik sebagai Naib Canselor pertama. Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Zaidee Laidin ialah seorang Jurutera Profesional berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia dan juga Felo Kehormat Institusi Jurutera Malaysia dan di Akademi Sains Malaysia.

Atas segala jasa dan sumbangan beliau  kepada ITM/UiTM sehingga universiti ini dikenali di peringkat negara dan antarabangsa, maka Universiti Teknologi MARA dengan sukacita dan dengan penuh bangga menganugerahkan kepada Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Zaidee Laidin dengan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Elektrik pada Konvokesyen ke-73 pada tahun 2010.

 

Rujukan

1. Bahagian Governan dan Sekretariat Universiti, Pejabat Pendaftar

2. Koleksi Penganugerahan Ijazah Kehormat UiTM 2012