Sejarah perkembangan Institut Teknologi MARA yang diasaskan dari Dewan Latehan RIDA (1956), kemudiannya Maktab MARA adalah melambangkan peringkat-peringkat perkembangan dan pembangunan pendidikan yang unik, khususnya dalam usaha-usahah membangunkan taraf pendidikan dan pelajaran kaum Bumiputra di dalam aspek-aspek Sains dan Teknologi.
Satu faktor yang jelas ialah jumlah permohonan untuk tiap-tiap kali pengambilan bagi memasuki Institut ini sejak 1967 yang lalu, adalah bertambah dari semasa ke semasa untuk semua kursus-kursus yang ditawarkan. Ini menunjukkan bahawa pendekatan Institiut sebagai Institusi Pengajian Tinggi untuk pengeluaran gunatenaga profesional telah diterima oleh kaum Bumiputra.
Melihat perkembangan ini, maka Institut terpaksa berusaha dan mengemaskini kurikulum dari semasa ke semasa supaya bersesuaian dengan keperluan Negara. Ini jelas kelihatan pada bertambahnya bilangan kursus-kursus yang ditawarkan yang telah meningkat daripada 20 jenis kursus dalam tahun 1967 kepada 78 jenis kursus dalam tahun 1977.
Perkembangan ini amatlah membanggakan kerana secara tidak langsung Institiut telah dapat memainkan peranan yang penting dalam usaha-usaha Kerajaan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru.
Usaha-usaha yang telah dijalankan telahpun menghasilkan pengiktirafan daripada beberapa Institusi Pengajian Tinggi di Luar Negeri. Umpamanya dalam tahun 1977, pemegang-pemegang Diploma Perangkaan telah dikecualikan dari mengambil peperiksaan profesional Institute of Statisticians, Bahagian II oleh Institute of Statisticians (United Kingdom).
Disamping pengiktirafan oleh Institusi Pengajian Tinggi di Luar Negeri, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia juga telah menerima lulusan Institiut ini untuk berbagai-bagai jawatan kerajaan.
Dalam tahun 1977, sebanyak 6 jenis kursus telah diiktiraf menjadikan jumlah yang diiktiraf setakat ini ialah 42 jenis kesemuanya. Disamping itu, pihak swasta juga tidak ketinggalan menerima dan mengiktiraf para lulusan Institiut sebagai setaraf dengan lulusan institusi pengajian tinggi yang lain.
Rujukan
1. Laporan Tahunan 1977