“Dalam perancangan awal penubuhan Insitut dalam tahun 1967, Institiut akan memainkan peranan bagi melengkapi tenaga Bumiputra dengan pengetahuan sains, teknikal dan profesional untuk membolehkan mereka mengambil bahagian dalam persaingan di dunia perniagaan dan perindustrian. Untuk melaksanakan tujuan ini, adalah dirancangkan supaya sebuah Institusi yang akan menelan belanja sebanyak RM 42,870,600.00 bagi membeli tapak, membina bangunan-bangunan dan melengkapi dengan peralatan yang cukup ditubuhkan.

Berdasarkan kepada memorandum Institut tersebut, adalah menjadi hasrat Institusi yang baru ini, yang diberi nama Institiut Teknologi MARA, bagi mengeluarkan Bumiputra yang berkelayakan bukan sahaja dalam bidang Kesetiausahaan, Pengurusan Perniagaan, Perakaunan dan Perangkaan, tetapi juga menghasilkan Teknologis-Teknologis, Ahli-Ahli Bank dan Eksekutif-Eksekutif Bumiputra untuk perkhidmatan pengurusan di negara ini.

Adalah menjadi matlamat dan hasrat Institut dalam Rancangan Malaysia Ketiga yang akan berakhir pada tahun 1980 untuk menambah, mempelbagai dan memperluaskan lagi program akademiknya untuk menampung keperluan pendidikan di semua pelajaran dengan tujuan utama untuk menambahkan lagi pengeluaran gunatenaga Bumiputra di dalam bidang Sains dan Teknologi. Untuk mencapai tujuan tersebut pihak Institut sentiasa dari semasa ke semasa mengadakan perundingan dengan institusi-institusi pengajian tinggi luar dan dalam negeri untuk mendapatkan kerjasama mereka dari segi kurikulum dan pengiktirafan. Adalah diharapkan dengan perkembangan ini Institut akan dapat memenuhi kehendak-kehendak negara dalam aspek pengeluaran gunatenaga yang diperlukan oleh sektor awam dan swasta”- Laporan Majlis

Perkembangan ITM sebagai pusat pengajian profesional dan separa profesional mencatatkan satu sejarah yang pesat dan cemerlang. Daripada cuma kursus perdagangan rendah dan vokasional pada permulaannya, ITM kini menawarkan hampir 100 kursus dalam berbagai bidang pengajian yang diletakkan di bawah 12 kajian, merangkumi bidang-bidang sains dan kejuruteraan, perniagaan dan pengurusan dan sains sosial dan kemanusiaan. Bermula dengan 25 orang pelajar, ITM kini mempunyai 23,165 pelajar yang ditempatkan di sepuluh buah kampus termasuk seramai 11,198 orang pelajar di kampus induk Shah Alam. Dari sebuah kampus di Petaling Jaya, ITM kini mempunyai kampus cawangan di Sabah, Sarawak, Perlis, Terengganu, Melaka, Johor, Pahang, Perak dan Kelantan.

FALSAFAH
Konsep Penubuhan ITM telah diasaskan kepada empat keyakinan atau hakikat yang secara  langsung merangkumi falsafah pendidikan di Institut ini. Kesimpulan falsafah ini ialah: 

  1. Bahawa setiap manusia mempunyai keupayaan semula jadi untuk belajar.
  2. Bahawa pendidikan mempunyai hubungan yang rapat dengan kehendak dan keperluan masyarakat.
  3. Bahawa pendidikan boleh memainkan peranan penting dalam mengubah status sosioekonomi masyarakat.
  4. Bahawa sesuatu kejayaan hanya dapat dicapai kepada tahap yang paling tinggi melalui pendidikan. 

MATLAMAT 

  1. Mengadakan program pendidikan yang disesuaikan dengan keperluan tenaga manusia, terutama dalam bidang teknologi, perniagaan, pengurusan dan pentadbiran.
  2. Menyediakan peluang pendidikan kepada belia-belia bumiputera terutama yang datang dari kawasan luar bandar supaya mereka dapat mengambil bahagian yang penting dan memainkan peranan yang berkesan dalam sektor-sektor perdagangan dan perindustrian.
  3. Memastikan agar lulusan ITM mendapat pekerjaan dan memegang jawatan di dalam pelbagai bidang ekonomi negara agar mereka diberi pengiktirafan yang sewajarnya terutama daripada segi ganjaran, sejajar dengan kelulusan dan corak latihan yang diterima.
  4. Menanam dan melahirkan sikap yang lebih positif dalam perwatakan belia-belia Bumiputera agar mereka lebih bersedia menghadapi persaingan dunia pekerjaan yang kian mencabar.
  5. Menilai dan mengkaji program-program pendidikan ITM supaya kaedah pembelajaran di ITM dan kurikulumnya tetap utuh dan sesuai mengikut keperluan dan kehendak-kehendak semasa.
  6. Menyediakan sumber tenaga manusia dan material bagi memenuhi keperluan-keperluan sektor-sektor awam, swasta dan masyarakat keseluruhannya.

Rujukan

  1. Laporan Tahunan 1977, 1988, 1989