Cawangan Maybank pertama di UiTM telah dirasmikan dalam satu Majlis Pelancaran Maybank@Campus oleh Malayan Banking Berhad (Maybank) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM). Perasmian bersejarah ini juga merupakan sebuah inisiatif strategik yang bertujuan memperkenalkan konsep perbankan digital yang menyeluruh kepada warga UiTM, khususnya para pelajar dan komuniti kampus. Majlis tersebut dianjurkan pada 13 Mei 2025 (Selasa) bersamaan 15 Zulkaedah 1446H dari jam 10.00 pagi hingga 1.30 petang bertempat di Maybank@Campus, Plaza Satelit B, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam.

Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen Maybank dalam mendekatkan perkhidmatan perbankan digital kepada golongan muda, serta menyokong aspirasi pendidikan tinggi negara melalui penyediaan solusi kewangan yang inovatif, mudah diakses, dan relevan dengan keperluan semasa.

Cawangan Maybank di UiTM Kampus Puncak Alam ini merupakan cawangan kesembilan Maybank yang beroperasi di institusi pengajian tinggi di seluruh negara dan merupakan yang pertama dibuka di kampus UiTM. Penubuhan cawangan ini mencerminkan usaha berterusan Maybank dalam memperkukuhkan keterlibatan bersama institusi pendidikan, di samping memperluas capaian perkhidmatan perbankan secara inklusif.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, FASc., Naib Canselor Universiti Teknologi MARA dan dihadiri oleh Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah (Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni), Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman (Rektor UiTM Cawangan Selangor), Encik Abd. Razak Kamardin Abdul Razak (Pengarah Wilayah Selangor dan Negeri Sembilan, Maybank Malaysia), barisan Pengurusan Tertinggi Universiti serta warga UiTM.

Pembukaan cawangan Maybank ini diharapkan dapat menjadi platform penting dalam memperkukuh sinergi antara sektor perbankan dan pendidikan tinggi ke arah pembangunan modal insan yang celik kewangan dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital masa kini.

Kredit foto : Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Selangor

Sumber : Maybank buka cawangan pertama di kampus UiTM Cawangan Selangor (Kosmo, 13 Mei 2025)