Dalam satu detik penuh makna dan bersejarah, Sasterawan Negara YBhg. Profesor Emeritus Dr. Muhamad bin Haji Salleh telah menghadiahkan tiga naskhah berharga dari koleksi peribadi beliau kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai simbol penghargaan dan penghormatan.Dua naskhah eksklusif telah disampaikan kepada anakanda pustakawan Perpustakaan UiTM, manakala satu naskhah khas ditujukan kepada YBhg. Naib Canselor UiTM sebagai tanda keakraban dan pengiktirafan terhadap institusi yang begitu komited dalam memartabatkan khazanah sastera dan budaya bangsa.
Penyerahan tersebut berlangsung dalam suasana santai namun penuh hormat di kediaman YBhg. Prof. Emeritus Dr. Muhamad bin Haji Salleh pada 18 April 2025, memperlihatkan keikhlasan beliau dalam menyumbangkan karya untuk kegunaan ilmiah dan arkib universiti.
Dalam pesanan ringkas tetapi penuh makna, beliau menyatakan: “Terima kasih UiTM kerana mengangkat dan menghargai Sasterawan Negara.”
Pesanan ini merupakan satu penghormatan tertinggi buat UiTM sebagai institusi yang menghargai kesusasteraan, pemikiran dan warisan kebangsaan melalui pengumpulan bahan bernilai tinggi secara langsung daripada tokoh sastera negara.
UiTM melalui Perpustakaan Tun Abdul Razak dan Bahagian Arkib Universiti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan naskhah ini, yang akan didokumentasi serta dipelihara dalam Repositori Khazanah Warisan UiTM untuk tatapan generasi kini dan akan datang.
Seluruh warga UiTM turut mendoakan kesihatan dan kesejahteraan berpanjangan buat YBhg. Profesor Emeritus Dr. Muhamad bin Haji Salleh, tokoh sasterawan negara yang telah banyak mencorakkan landskap pemikiran dan kesusasteraan Melayu moden.
Sumber:
Facebook Perpustakaan UiTM