Tahun 2024 menandakan satu detik bersejarah buat Universiti Teknologi MARA (UiTM) apabila institusi ini meraikan ulang tahun ke-25 sebagai sebuah universiti. Sejak dinaik taraf dari Institut Teknologi MARA (ITM) kepada universiti penuh pada 26 Ogos 1999, UiTM telah melalui transformasi besar dalam memperkasa pendidikan tinggi negara, sekali gus mengangkat martabat anak bangsa menerusi pembangunan modal insan berdaya saing.

Dalam tempoh dua setengah dekad ini, UiTM terus mengekalkan komitmen dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada bumiputera, selain memperkukuh kedudukannya sebagai pusat kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi bertaraf antarabangsa. Kejayaan demi kejayaan yang dicapai adalah bukti bahawa UiTM bukan sekadar institusi pengajian, tetapi turut menjadi simbol kemajuan dan mobiliti sosial negara.

Sambutan Jubli Perak 2024

Sempena memperingati detik bersejarah ini, UiTM menganjurkan Sambutan Jubli Perak UiTM Sebagai Sebuah Universiti (1999–2024) dengan pelbagai pengisian istimewa yang mencerminkan perjalanan cemerlang serta aspirasi masa depan universiti.

Antara program utama sambutan termasuk:

  • Penjualan barangan edisi khas Jubli Perak, sebagai koleksi kenangan 25 tahun penubuhan UiTM sebagai universiti.

  • Kayuhan Kapsul Merentas Cawangan UiTM, yang akan bermula pada 20 Jun 2024, simbolik kepada kesinambungan semangat dan jalinan seluruh komuniti kampus di seluruh negara.

  • Larian Berhalangan UiTM pada 25 Ogos 2024, yang mencabar daya tahan fizikal dan mental, melambangkan ketabahan dan semangat warga UiTM dalam menghadapi cabaran masa lalu dan masa hadapan.

  • Malam Gala Ambang 25 Tahun UiTM Sebagai Sebuah Universiti juga bakal berlangsung pada 25 Ogos 2024, sebagai acara kemuncak yang menghimpunkan warga alumni, staf, pelajar dan rakan strategik universiti dalam satu malam penuh apresiasi dan refleksi sejarah.

Selain itu, Sambutan Mini 25 Tahun UiTM akan dianjurkan di semua kampus cawangan mengikut tarikh persinggahan Kayuhan Kapsul, sebagai usaha memperluas semangat sambutan ke seluruh ekosistem UiTM.

Sambutan Jubli Perak ini bukan sekadar memperingati sejarah, tetapi menjadi titik tolak kepada visi yang lebih besar — ke arah menjadikan UiTM sebagai universiti unggul yang terus memperkasa watan dan mendepani dunia. Sesungguhnya, 25 tahun ini telah menjadi bukti keutuhan perjuangan UiTM dalam memartabatkan pendidikan tinggi nasional dan memperkukuh legasi untuk generasi akan datang.


LOGO 25 Tahun UiTM
Mesyuarat Majlis Eksekutif Universiti (MEU) Bil.3/2024 pada 31 Januari 2024 telah bersetuju memilih dan meluluskan logo 25 Tahun UiTM melalui pertandingan mencipta logo 25 Tahun UiTM yang diadakan dari 23 November hingga 20 Disember 2023.