"Pemimpin berjiwa rakyat, negarawan berjiwa pendidikan."
Sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima, Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi telah meninggalkan legasi besar kepada pembangunan pendidikan tinggi negara, khususnya Universiti Teknologi MARA (UiTM). Antara momen bersejarah yang terpahat dalam ingatan warga UiTM adalah perasmian Kampus UiTM Cawangan Pulau Pinang oleh Almarhum pada 7 Mac 2004 di Permatang Pauh. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan keyakinan terhadap peranan UiTM dalam memperkasa modal insan Bumiputera, serta menyeru agar institusi ini terus menjadi peneraju pembangunan masyarakat. Pemikiran beliau yang berteraskan kesederhanaan, ilmu dan keutuhan moral kekal menjadi inspirasi kepada seluruh warga akademia.
Bahagian Arkib Universiti UiTM kini menyimpan dengan rapi pelbagai koleksi dokumen, dan foto berkaitan lawatan rasmi, perasmian dan amanat Almarhum kepada UiTM. Bahan-bahan ini bukan sahaja menjadi khazanah sejarah universiti, malah mencerminkan betapa eratnya hubungan Tun Abdullah dengan dunia pendidikan tinggi. Mari bersama kami mengenang jasa dan sumbangan Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada UiTM dan negara, dengan menelusuri semula detik-detik penuh makna yang direkodkan di Memori Arkib Universiti UiTM.
“Ilmu itu cahaya. Kepimpinan itu amanah. Dan Tun Abdullah adalah sinar kepada kedua-duanya.”