Bersempena Ulangtahun ke-40, Institut Teknologi MARA (ITM) buat julung kalinya telah mengadakan Konvokesyen Komemoratif pada 23 Jun 1997. Di majlis yang bersejarah ini ITM telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang secara pasca hayat kepada Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein bagi mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham terhadap bidang Pendidikan Bumiputera.

Ijazah Kehormat itu disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah ITM, Tan Sri Datuk Wira Abdul Rahman Arshad kepada isteri Allahyarham Tun Abdul Razak, Tun Hajah Rahah binti Tan Sri Mohd Noah.

Di majlis tersebut Rektor ITM, Dato’ Ir. Dr. Hj. Ahmad Zaidee Laidin sebagai Pemidato Umum telah menyampaikan Pidato Mengenang Jasa Allahyarham Tun Hj. Abdul Razak. Turut hadir di majlis tersebut ialah anak-anak Allahyarham iaitu Menteri Pendidikan Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib dan Datin Sri Rosmah Mansor, Ahmad Johari, Mohamed Nizam, Mohamed Nazim dan Mohamed Nazir.

Dato’ Sri Mohd Najib juga menyifatkan penganugerahan ijazah kehormat oleh ITM kepada tokoh yang sudah meninggal dunia sebagai luar biasa kerana sebelum ini ijazah seumpama ini dikurniakan kepada tokoh yang masih hidup.

Sebagai tanda ingatan, Tan Sri Datuk Wira Abdul Rahman Arshad telah menyampaikan cenderamata kenang-kenangan iaitu sebuah lukisan hasil karya Awang Damit, pensyarah di Kajian Seni Lukis dan Seni Reka ITM selaku pelukis yang telah mencipta nama di peringkat antarabangsa.

 

Sumber :

  • Berita ITM Jun - Julai tahun 1997
  • Buku Konvokesyen Komemoratif
  • Koleksi gambar Jabatan Arkib Universiti