Majlis konvokesyen bersama yang pertama diantara Institut Teknologi MARA (ITM) dengan Universiti Ohio pada 12 Ogos 1977 adalah merupakan sejarah baharu dalam usahasama dua buah institusi pengajian tinggi bagi melahirkan graduan-graduan yang berkelayakan. Dalam upacara tersebut seramai 24 orang graduan telah menerima ijazah-ijazah Pentadbiran Perniagaan (BBA) daripada Presiden Universiti Ohio, Dr. Charles J. Ping.

Pengerusi Majlis Pentadbir ITM, Datuk Mansur Osman ketika berucap dalam majlis itu berkata penyampaian ijazah ini merupakan hasil usahasama yang menguntungkan kedua-dua pihak sejak dari tahun 1975. Beliau juga menyatakan bahawa menjelang tahun 1980, rancangan latihan tenaga pengurusan BBA OHIO-ITM mungkin akan dapat menyediakan anggaran 120 orang graduan lagi. Walaupun jumlah itu kecil apabila dilihat ke atas kehendak dan keperluan negara menjelang tahun 1990 iaitu di akhir masa perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru, namun ia menjadi pendorong untuk mempercepatkan lagi daya usaha dan membaiki guna tenaga bumiputera yang terlatih untuk mengisi keperluan negara. Menjelang tahun 1990, negara ini memerlukan lebih dari 12 ribu orang tenaga pengurusan untuk menjalankan rancangan-rancangan pembangunannya. Untuk memenuhi keperluan negara, ITM melalui kursus-kursus yang dijalankannya akan dapat memainkan peranannya untuk mengisi keperluan tersebut.

Presiden Universiti Ohio, Dr. Charles J. Ping dalam ucapannya menekankan perlunya kerjasama di antara negara terutamanya dalam bidang pelajaran serta bidang-bidang lain meliputi ekonomi, kemanusian dan lain-lain.

Majlis konvokesyen itu juga dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad merangkap Menteri Pelajaran, Naib-Naib Canselor dari beberapa buah universiti tempatan, ahli-ahli Majlis Pentadbir ITM, Pengarah ITM, Datuk Lokman Musa, beberapa orang tetamu khas dan ibu bapa graduan-graduan.

 

Sumber :

  • Warta ITM Ogos 1977
  • Memori Korporat Bil. 59/2019