PERUTUSAN DATUK HUSSIEN
Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Institut Teknologi MARA sempena dengan ulangtahun ke-10 Institut Teknologi MARA pada 14 dan 15hb. Oktober 1977.
Negara juga merayakan ulangtahun kemerdekaan yapg ke 20 pada 31hb. Ogos lalu. Sejak kemerdekaan, negara telah berkembang dengan begitu pesatnya. Diantara kemajuan dan kejayaan yang dicapai dalam bidang pelajaran dan pendidikan, ialah penubuhan Institut Teknologi MARA. Institut Teknologi MARA merupakan satu- satunya usaha kerajaan yang amat berkesan menyediakan latihan kepada kaum bumiputera dalam jurusan sains dan teknologi bagi menampung keperluan yang semakin bertambah oleh pihak swasta. Usaha Institut Teknologi MARA menambahkan bilangan kaum bumiputera dalam bidang pengurusan dan kemahiran telah mendatangkan hasil yang berkesan. Adalah diharapkan Institut Teknologi MARA dapat melipatgandakan kemajuan dan kejayaannya pada yang akan datang, supaya hasrat kita mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru dapat dilaksanakan dengan jayanya. Akhirnya saya mendoakan Institut Teknologi MARA selamat maju jaya, mudah-mudahan Allah memberkati dan menjayakan segala usaha dan rancangannya.
Terima kasih.
PERUTUSAN DATUK SRI DR. MAHATHIR
Terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke atas kejayaan Institut Teknologi MARA yang telah berkembang dengan kadar yang begitu menggalakkan sejak ianya ditubuhkan pada tahun 1967.
‘Perayaan Ulangtahun Ke-10 Institut Teknologi MARA adalah merupakan suatu detik gemilang dalam sejarah perkembangan pelajaran dan pendidikan di Malaysia. Institut Teknologi MARA merupakan sebuah institusi yang penting bagi melatih lebih banyak tenaga profesional dari kaum bumiputera. Tugas dan tanggungjawabnya adalah amat berat dan penting, dan belum selesai lagi.’ Dalam usahanya melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini tiap-tiap pihak yang terlibat mestilah memainkan peranan masing-masing dengan semangat penuh kesedaran dan tanggungjawab. Saya percaya pihak Institusi Teknologi MARA akan dapat memenuhi hasrat dan aspirasi rakyat, dan saya berdoa kejayaan yang lebih cemerlang akan tercapai pada tahun- tahun akan datang dalam segala usahanya.
Terima kasih.
Sumber :
Buletin Keluaran Khas Menyambut Ulangtahun ke 10 Universiti Teknologi MARA