Institut Teknologi MARA Cawangan Melaka mula beroperasi pada 15 Ogos 1984 dengan bilangan pelajar sebanyak 158 orang serta 5 orang tenaga pengajar dan 32 orang kakitangan sokongan. Pada ketika itu, ITM Cawangan Melaka ditempatkan di bangunan sementara di Jalan Hang Tuah yang merupakan Bangunan Institut Kemahiran MARA dan di kampus tambahan di Bachang, manakala asrama pelajar terletak di Taman Setia Jaya.  Antara kursus yang ditawarkan pada ketika itu adalah Diploma Pentadbiran Awam, Diploma Pengajian Perniagaan, Diploma Perakaunan dan Diploma Kesetiausahaan. Kajian Luar Kampus mula diadakan pada tahun 1985 untuk menampung keperluan penduduk negeri Melaka dan persekitaran daerah Muar dan Johor.

Untuk menampung kemasukan pelajar yang semakin meningkat serta kemudahan yang lebih baik, ITM Cawangan Melaka membangunkan kampus tetap yang telah mula dibina setelah satu upacara pecah tanah yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-4 pada 15 Mac 1987. Pada Januari 1994 kampus ITM di bangunan Institut Kemahiran MARA ini telah berpindah ke Kampus tetap di Lendu, Alor Gajah. Pada bulan 15 Disember 2006, UiTM Cawangan Melaka membuka satu lagi kampus yang terletak di bandaraya Melaka bagi menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat seiring dengan hasrat mantan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu untuk mencapai 200,000 bilangan pelajar UiTM. Kampus ini dikenali sebagai Kampus Bandaraya Melaka yang merupakan kampus bandaraya yang terbesar di Malaysia dan mampu menampung hampir 3,500 pelajar.

Pada 19 Februari 2011, satu upacara pecah tanah telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-6 pada ketika itu untuk Kampus UiTM Cawangan Melaka yang ke-3 iaitu di Jasin yang dibina di atas tapak seluas 218 ekar di Felcra Seri Mendapat.  Kampus yang mampu menampung sehingga 5,000 orang pelajar ini merupakan satu lagi projek pembangunan kampus di Negeri Melaka yang dibiayai melalui Public Finance Initiative (PFI) dan merupakan penempatan bagi 2 fakulti iaitu Fakulti Sains Komputer dan Matematik serta Fakulti Perladangan dan Agroteknologi.  Pembinaan 3 kampus ini menjadikan ketiga-tiga daerah di Melaka memiliki Kampus UiTM iaitu di daerah Melaka Tengah (Kampus Bandaraya), daerah Alor Gajah (Kampus Lendu) dan Daerah Jasin (Kampus Jasin).

Bangunan Sementara di Jalan Hang Tuah

Bangunan Sementara ITM Kampus Bachang

Asrama Pelajar di Taman Setia Jaya

Upacara Pecah Tanah Kampus Tetap di Alor Gajah pada 15 Mac 1987

Pembinaan Kampus tetap di Alor Gajah sekitar awal tahun 1990-an

Pembinaan Kampus ketiga di Jasin sekitar tahun 2012

Sumber :

  1. ITM Warisan Bangsa                                     
  2. Melakari Peristiwa Kampus-Kampus Cawangan
  3. Shaping A Dream : From Dewan Latehan RIDA to UITM 1956 -1999
  4. Laman Sesawang, UiTM Cawangan Melaka
  5. Achieving A Dream… A Story of Courage