Institut Teknologi MARA Cawangan Pahang adalah kampus cawangan ketujuh dan telah dirasmikan pada 14 Januari 1985 oleh YAB Menteri Besar Pahang pada ketika itu, Dato’ Seri Haji Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Kampus di Kuantan ini telah dibuka di tiga kawasan iaitu di Telok Sisek, Padang Lalang dan Bukit Sekilau yang merupakan kampus sementara. Pada tahun 1986, kampus ini mempunyai seramai 53 orang Pegawai Pentadbiran dan 1,143 orang pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang Perakaunan, Pentadbiran Awam, Pengajian Perniagaan, Perbankan, Sains Komputer, stenografi, Pengurusan Ladang, Sains dan Pra-Kejuruteraan.
Pada tahun 1988, kerja-kerja pembinaan bagi kampus tetap ITM Cawangan Pahang dibina di Jengka, namun tertangguh seketika akibat krisis ekonomi melanda dan akhirnya berjaya disiapkan pada tahun 1992. Kampus Jengka dibina melalui 2 fasa iaitu yang pertama mampu memuatkan 2,500 orang pelajar dan fasa seterusnya yang lengkap dengan kemudahan infrastruktur yang mampu menempatkan 4,500 orang pelajar. Pembahagian kawasan tersebut adalah mengikut nisbah 60:40 iaitu 40% daripada kawasan tanah tersebut dijadikan kawasan untuk dibangunkan manakala 60% lagi dijadikan kawasan tujuan pertanian. Kampus ini selesai pindah secara keseluruhannya pada tahun 1993 dari Kuantan ke Jengka dan sekaligus menjadikan kampus di Kuantan sebagai Kampus Kota.
Kampus Kota kedua telah dibuka di Raub pada tahun 1997 yang terletak di bangunan sementara Raub’s Courthouse. Pada tahun 2002, kampus kota ini berpindah ke bangunan baharu derdekatan dengan pekan Raub. Fokus Kampus Kota Raub dibuka adalah untuk komuniti bumiputera di Raub, Lipis dan Bentong. Program ini menawarkan program luar kampus, separuh masa, jarak jauh, kursus jangka pendek dan kursus bahasa inggeris. Pada 1 November 2012, satu lagi kampus di Raub telah dibina secara Private Financial Initiative (PFI) dengan keluasan 80 ekar dan hanya 30.5 ekar sahaja digunakan untuk pembangunan. Kampus Raub ini merupakan kampus yang terletak di Mukim Gali daerah Raub. Majlis pecah tanah telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Mantan Perdana Menteri pada 04 Mei 2013 dan berjaya disiapkan pada 31 Oktober 2015. Pada 16 November 2015, Kampus Kota di Kuantan secara rasminya ditutup serta dipindahkan operasinya di Kampus Raub bermula pada 29 November 2015.
Asrama Tun Teja untuk para pelajar di ITM Cawangan Pahang di Kuantan pada tahun 1986
Bangunan ITM Pahang di Kuantan. Bangunan ini asalnya Bangunan Pejabat Lambaga Kemajuan Pahang Tenggara, Jalan Telok Sisek, Kuantan.
Bangunan Pentadbiran ITM Pahang di Jengka siap dibina pada tahun 1992.
Bangunan Sementara Raub’s Courthouse yang dijadikan kampus kota sementara di Raub sekitar tahun 1997
Sumber :
- ITM Warisan Bangsa
- Melakari Peristiwa Kampus-Kampus Cawangan
- Shaping A Dream : From Dewan Latehan RIDA to UITM 1956 -1999
- Laman Sesawang UiTM Cawangan Pahang
- Achieving A Dream…A Story of Courage