ITM Cawangan Perak secara rasminya telah dibuka pada 1 Januari 1985 dengan pengambilan pertama seramai 200 orang pelajar. Kampus pertama terletak di Bandar Baru Seri Manjung, Sitiawan dan merupakan perumahan 30 unit lot rumah kedai yang digunakan sebagai bangunan pentadbiran, bilik kuliah, makmal komputer, bilik menaip, perpustakaan, surau, dewan makan, kedai dan asrama pelajar perempuan. Selain itu, 49 unit rumah teres turut disewa untuk dijadikan asrama lelaki daripada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak. Dalam tempoh 2 tahun, bilangan pelajar bagi pengambilan Julai 1987 telah melonjak kepada 2,343 orang.

Disamping itu juga, program separuh masa ditawarkan yang ditempatkan di tiga bangunan unit rumah kedai di Taman Perpaduan, Ipoh, Perak. Program ini diperkenalkan pada Julai 1985 dengan pengambilan pelajar seramai 134 orang yang mengikuti kursus Diploma Perakaunan, Diploma Pentadbiran Awam dan Diploma Pengajian Perniagaan.

Pada 3 April 1995, satu upacara pecah tanah bagi kampus tetap ITM Cawangan Perak telah dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, YAB Tan Sri Dato’ Seri Ramli bin Ngah Talib. Kampus  tersebut telah dibina di atas tanah seluas 392.36 ekar yang telah diberikan oleh Kerajaan Perak di Seri Iskandar. Kampus tersebut, siap sepenuhnya pada awal tahun 1997 dan telah dirasmikan oleh Raja Muda Perak, pada 21 Julai 1998.

UiTM Cawangan Perak telah menerima kampus kedua yang mula beroperasi pada 27 Disember 2010 di Tapah. Seramai 450 orang pelajar mencipta sejarah sebagai kumpulan pertama yang memulakan pengajian di kampus ini dengan pelbagai kursus pilihan yang ditawarkan menerusi Fakulti Sains Komputer dan Matematik. Kampus baharu ini dibiayai melalui Public Finance Initiative (PFI) berkeluasan hampir 11 hektar yang dikenali sebagai kampus ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi).

Sekitar pemandangan bangunan sementara ITM Perak di Manjung

Barisan warga staf ITM Perak di Manjung

Sekitar Majlis Upacara Pecah Tanah bagi Kampus Tetap ITM Cawangan Perak di Seri Iskandar oleh YAB Menteri Besar Perak

Pemandangan Kampus Tetap ITM di Seri Iskandar setelah siap sepenuhnya pada 1997

Sumber :

  1. ITM Warisan Bangsa                                                                                               
  2. Melakari Peristiwa Kampus-Kampus Cawangan 
  3. Shaping A Dream : From Dewan Latehan RIDA to UITM 1956 -1999 
  4. Laman Sesawang UiTM Cawangan Perak
  5. Achieving A Dream…A Story of Courage