ITM Cawangan Kelantan merupakan kampus cawangan yang kesembilan. Ia telah dirasmikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Mohamad bin Yaakob selaku Menteri Besar Kelantan dan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Kelantan pada 1 Julai 1985. Perasmian telah diadakan di kampus sementara di Kem Kijang milik Majlis Pengakap Negeri Kelantan. Ia terletak di atas kawasan seluas 13.076 ekar yang disewa dengan kadar sewaan RM40,000 setahun.
Mulai 1 Ogos 1989, sebuah lagi kampus sementara di Taman Tanjung Chat dibuka dengan menyewa 20 unit bangunan rumah kedai milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan. Kampus ini mempunyai asrama untuk menampung 226 orang siswa dan lapan buah bilik kuliah. Pada peringkat awal, bilangan staf adalah sermai 81 orang iaitu tujuh orang pensyarah sepenuh masa dan sepuluh orang pensyarah sambilan serta 64 orang staf bukan akademik. Manakala bagi kumpulan pertama pelajar adalah seramai 185 orang bagi semester Julai hingga Disember 1985.
Pembinaan kampus tetap telah dimulakan pada tahun 1993 di tanah seluas 200.32 hektar di Bukit Anjing, Machang. Nama asal Bukit Anjing telah ditukar menjadi Bukit Ilmu, hasil ilham Allahyarham Dato’ Nik Abdul Rashid Nik Abd. Majid, bekas Pengarah ITM. Sejumlah RM35.9 juta diperuntukkan bagi pembinaan kampus tetap ini dalam Rancangan Malaysia Kelima. Kerja-kerja pembinan Fasa 1 telah dimulakan pada 14 April 1993 dan berpindah secara rasminya ke kampus tetap di Machang bemula pada 1 Januari 1996.
Dalam Rancangan Malaysia Kelima, ITM merancang untuk menubuhkan sebuah kampus kota di tiap-tiap buah bandar utama termasuklah di negeri Kelantan. Penubuhan UiTM Kampus Kota diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Mustapa Mohamad pada 18 Oktober 2006 dan sesi pertama pengajiannya telah bermula pada bulan Julai 2007. Bangunan ini terletak di Wisma KUB yang merupakan bangunan empat tingkat dengan berkeluasan 24,522.75 kaki persegi. Pada tahun 2008, Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif UiTM telah meluluskan penyewaan dua blok bangunan tiga tingkat dengan keluasan 19,200 kaki persegi yang mula beroperasi pada Julai 2009.
Bangunan Sementara ITM Cawangan Kelantan di Kem Kijang sekitar tahun 1985
Pembinaan Kampus Tetap di Bukit Ilmu, Machang sekitar 1995
Sumber :
- ITM Warisan Bangsa
- Melakari Peristiwa Kampus-Kampus Cawangan
- Shaping A Dream : From Dewan Latehan RIDA to UITM 1956 -1999
- Laman Sesawang UiTM Cawangan Kelantan
- Achieving A Dream…A Story of Courage