Bangunan UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu di Lembah Sireh, Kota Bharu.
Majlis Perasmian UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu & Pelancaran Big Data Lab Seluruh Sistem UiTM telah disempurnakan oleh YB Dato' Seri Idris Jusoh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia pada 29 Oktober 2017 di Lembah Sireh, Kota Bharu. Kampus Kota Bharu membuka lembaran baharu dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan tinggi apabila melancarkan Makmal Data Raya atau Big Data Lab (BDL) melibatkan  seluruh sistem universiti pada tarikh yang sama.  
 

YB Dato' Seri Idris Jusoh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia menandatangani plak perasmian UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu disaksikan oleh Naib Canselor UiTM (kiri), YBhg. Profesor Emeritus Dato' Dr. Hassan Said.

Terdahulu sejarah penubuhan kampus Kota adalah cetusan idea Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Naib Canselor UiTM dan juga Rektor Kampus bagi meningkatkan jumlah kemasukan pelajar UiTM Cawangan Kelantan. Penubuhan UiTM Kampus Kota telah diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato' Mustapa Mohamad pada 18 Oktober 2006 dan sesi pertama pengajian telah bermula pada Julai 2007. Penubuhan Kampus Kota mengambil kira beberapa kriteria antaranya ialah lokasi yang strategik di kawasan bandar Kota Bharu.
 
Plak perasmian kini di ruang lobi UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu.
Susulan daripada pengumuman itu, sebuah Jawatankuasa Penubuhan Kampus Kota yang dipengerusikan oleh Pengarah Kampus telah dibentuk. Jawatankuasa ini dianggotai oleh ketua-ketua bahagian serta unit di UiTM Cawangan Kelantan. Wisma KUB yang mempunyai 4 tingkat dengan keluasan lantai keseluruhan 24,522.75 kaki persegi telah dipilih sebagai kampus sementara UiTM Kampus Kota atau nama rasminya Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan, Kampus Kota Bharu. Pada tahun 2008, Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, Universiti Teknologi MARA Malaysia seterusnya meluluskan penyewaan 2 blok bangunan 3 tingkat dengan keluasan lantai keseluruhan 19,200 kaki persegi yang telah beroperasi pada Julai 2009.