Kampus ITM cawangan yang ke-10 dibina adalah ITM Cawangan Pulau Pinang yang berada di Permatang Pasir, Seberang Perai Tengah. Kampus ini memulakan operasinya dibangunan sementara yang merupakan bangunan asal Sekolah Menengah Permatang Pasir. Ia dibuka pada 16 Jun 1996 dengan pengambilan pelajar-pelajar dari jurusan kejuruteraan seramai 230 orang. Staf permulaan di sini adalah seramai 40 orang termasuk 9 orang staf akademik.

Pada tahun 1998, pelaksanaan dan pembinaan kampus tetap telah dimulakan di kawasan Permatang Pauh bagi memastikan ITM Cawangan Pulau Pinang dapat menampung lebih ramai pelajar dan pada Ogos 2003, kampus tetap di Permatang Pauh mula diduduki secara rasmi. Tanggal 7 Mac 2004, majlis perasmian UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Ke-5. Kampus ini dapat menampung kapasiti pelajar sehingga 10,000 enrolmen. Lokasi kampus ini dianggap strategik kerana dikelilingi oleh beberapa kawasan perindustrian utama dan secara langsung menjadikan UiTM Pulau Pinang sebagai perintis dalam mencapai hala tuju pembangunan dan kemajuan negeri Pulau Pinang.

Pada bulan Julai 2010, UiTM Pulau Pinang menerima penambahan pembangunan dan prasarana terbaharu iaitu di Balik Pulau yang dikhaskan untuk menempatkan pelajar Pra Diploma seramai 200 orang. Kampus ini menyediakan lima bilik kuliah, dua buah makmal komputer serta kemudahan bilik pensyarah dan pentadbir. Perasmian kampus ini telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  YB. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada 30 Januari 2011.  Walau bagaimanapun, operasi di Kampus Balik Pulau dipindahkan sepenuhnya ke Kampus Permatang Pauh pada bulan Oktober 2014.

Selepas kampus Balik Pulau dibuka, UiTM Pulau Pinang menerima sebuah kampus di Bertam dengan keluasan keseluruhan sebanyak 248 ekar yang merangkumi pembangunan permulaan Fasa 1 iaitu 32.6 ekar yang mula beroperasi pada 16 Mei 2011. Pembangunan kampus kedua ini adalah bertujuan untuk menampung pertambahan pelajar di Kampus Permatang Pauh. Enrolmen permulaan di Kampus Bertam adalah seramai 521 orang pelajar yang terdiri daripada Fakulti Farmasi, Fakulti Sains Kesihatan, diikuti dengan pertambahan daripada Fakulti Sains Komputer dan Matematik pada Jun 2012. Jumlah keseluruhan pelajar pada tahun 2012 adalah seramai 911 orang serta 66 orang staf termasuk 33 orang pensyarah ditempatkan di kampus ini.

Bangunan Sementara ITM Cawangan Pulau Pinang di Permatang Pasir

Pembinaan kampus tetap di Permatang Pauh

Kampus Balik Pulau

Kampus Bertam

Sumber :                                                                                      

  1. Melakari Peristiwa Kampus-Kampus Cawangan 
  2. Shaping A Dream : From Dewan Latehan RIDA to UITM 1956 -1999 
  3. Laman Sesawang UiTM Cawangan Pulau Pinang