Institut Teknologi MARA Cawangan Johor telah memulakan operasinya pada 15 Disember 1983 di bangunan sementara di Taman Indah, Bukit Siput, Segamat. Kampus sementara di Bukit Siput ini terletak di KM 5, Jalan Jenuang, Segamat dan telah dirasmikan oleh Y.B. Menteri Besar Johor pada ketika itu, Dato’ Abd. Ajib bin Ahmad pada 1 Januari 1984.

Di kampus sementara ini cuma dapat menempatkan seramai 440 orang pelajar sahaja pada satu-satu masa. Memandangkan pengambilan pelajar yang semakin meningkat mengikut Rancangan Malaysia Kelima (RMK-5), maka pihak ITM telah meminjam Sekolah Rendah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman untuk dijadikan kolej kediaman dan dikenali sebagai Kolej Temenggong Abdul Rahman.

Mulai bulan Ogos 1986, Kampus ITM Cawangan Johor berpindah secara berperingkat ke kampus sementara di Segamat Baru yang bertentangan dengan Taman Indah, Bukit Siput. Disebabkan kepesatan pembangunan pelajar, Kerajaan Negeri Johor berbesar hati menyumbang sebuah kampus tetap ITM Segamat di Batu 8, Jalan Muar-Segamat di atas tanah seluas 200-hektar. Kampus yang siap dibina sepenuhnya ada bulan Januari 1990 ini mampu menampung kapasiti pelajar sehingga 2,500 orang.

ITM Cawangan Johor juga membuka kampus keduanya di Johor Bahru pada tahun 1990 di Menara Landmark sehinggalah berpindah ke Larkin pada 2 Julai 2007 dan dikenali sebagai UiTM Johor Kampus Bandaraya Johor Bahru. Pada 17 Julai 2010, satu upacara pecah tanah telah dilaksanakan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia pada ketika itu, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di atas tanah seluas 200 ekar di Pasir Gudang, Johor yang siap sepenuhnya pada 1 Mei 2014. Kampus Bandaraya Johor Bahru sekali lagi telah berpindah ke Bandar Seri Alam Masai, Pasir Gudang di bawah perancangan Kampus PFI (Public Finance Initiative) dan dikenali sebagai UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang.

Sekitar Majlis Perasmian Penubuhan ITM Cawangan Johor pada 23 Mac 1985 oleh Dato’ Abd. Ajib bin Ahmad, Menteri Besar Johor

Bangunan sementara ITM Cawangan Johor di Taman Indah, Bukit Siput, Segamat sekitar tahun 1984

Bangunan sementara ITM Cawangan Johor di Segamat Baru sekitar tahun 1986

Kampus Bandaraya Johor Bahru bermula operasi pada 2 Julai 2007

Sumber :

  1. ITM Warisan Bangsa 
  2. Melakari Peristiwa Kampus-Kampus Cawangan
  3. Shaping A Dream : From Dewan Latehan RIDA to UITM 1956 -1999
  4. Laman Sesawang, UiTM Cawangan Johor