Pada 1 Julai 1975 bertempat di Sura Gate, Kampus UiTM Dungun, Terengganu telah ditubuhkan. Kampus ini mempunyai 17 ekar tanah, yang merupakan peninggalan Syarikat Bijih Besi yang disewa Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri (PERMINT).

Pada masa itu terdapat 22 bangunan kayu yang digunakan sebagai bangunan pentadbiran, bilik kuliah, perpustakaan, asrama untuk pelajar dan beberapa bangunan lain untuk kelab kesatuan.

Pengubahsuaian bangunan dan pembinaan bangunan tambahan di Sura Gate juga dilaksanakan untuk menampung keperluan pelajar dan kakitangan pada waktu itu. Pengubahsuaian tersebut termasuk 5 buah bangunan lama yang dijadikan bilik kuliah, rumah & masjid, wakil-wakil residen, 2 blok makmal serta pusat rekreasi pelajar.

Tanggal 19 Oktober 1978, satu upacara peletakan batu asas untuk kampus tetap UiTM Dungun telah dilaksanakan oleh Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Sura Hujung. Kawasan ini meliputi 1,306,536 meter persegi dimana 342.536 meter persegi adalah di kawasan bersempadan dengan pantai Laut China Selatan dan 964,000 kaki persegi lagi di bukit bertentangan Sura.

Walaupun sebuah kampus tetap di Sura Hujung yang dibina pada tahun 1982, tetapi kampus Sura Gate masih digunakan untuk Kajian Sains Kesetiausahawanan serta Pensijilan Hotel & Restoran. Pada 30 April 1998, selepas beroperasi selama hampir 23 tahun, Kampus Sura Gate akhirnya diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri sepenuhnya.

Pada 18 Disember 1991, satu M.O.U antara Yayasan Terengganu dengan ITM telah melahirkan kolej bersekutu  pertama dan berfungsi sebagai Institusi Pendidikan yang bertujuan membantu anak-anak tempatan untuk berdaya saing dalam pelbagai bidang. Pada Januari 2008, UiTM telah bersetuju untuk mengambil alih Kolej Yayasan Terengganu secara sepenuhnya untuk dijadikan sebagai UiTM Cawangan Terengganu Kampus Kuala Terengganu.

Selaras dengan hasrat kerajaan pada ketika itu untuk memastikan jumlah enrolmen pelajar UiTM mencapai 200,000 orang,  UiTM Cawangan Terengganu sekali lagi telah membuka kampus UiTM yang ke-36 iaitu di Bukit Besi pada bulan Jun 2013 atau lebih dikenali sebagai Kampus Rekreasi Bukit Besi (KRBB) dengan jumlah pelajar seramai 1,500 orang.

Pemandangan Pembinaan Kampus Sura Hujung Pada Akhir Tahun 1970-an.

Pemandangan Bangunan Pentadbiran Kampus Tetap di Sura Hujung Pada Awal Tahun 1980-an.

Sumber :

  1. ITM Warisan Bangsa                                     
  2. Melakari Peristiwa Kampus-Kampus Cawangan
  3. Laman Sesawang, UiTM Cawangan Terengganu