Kampus ITM Cawangan Perlis merupakan kampus cawangan yang ketiga ditubuhkan iaitu pada 5 Julai 1974 dengan jumlah pelajar seramai 258 orang bagi 6 program yang ditawarkan. Penubuhannya adalah dengan daya usaha penggerak-penggerak dan perancang akademik ITM yang diketuai oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Mohd Ghazali Shafie selaku Pengerusi Majlis ITM dan Encik Arshad Ayub sebagai Pengarah ITM. Kerjasama sepenuhnya diperolehi daripada Kerajaan Negeri Perlis di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato' Jaafar b. Hassan, Menteri Besar Negeri Perlis.
Pada ketika itu kampus cawangan Perlis masih lagi ditempatkan di kampus sementara iaitu Padang Katong, Kangar dengan bilangan pelajar seramai 258 orang untuk kumpulan yang pertama. Bangunan yang diduduki itu merupakan bangunan Rumah Pengakap yang telah diubahsuai untuk dijadikan kampus sementara ITM cawangan Perlis. Manakala asrama-asrama pelajar terletak di sekitar Kangar disewa oleh ITM melalui rumah-rumah orang perseorangan. Bilangan tenaga pengajar pada ketika itu adalah seramai 15 orang terdiri daripada Pensyarah dan Penolong Pensyarah serta dibantu oleh 31 kakitangan pentadbiran dan staf sokongan untuk 1 program persediaan dan 5 program diploma.
Pertambahan pelajar menjadikan kemudahan sedia ada menjadi sangat terhad di Padang Katong sehinggalah perancangan untuk membina kampus tetap direalisasikan. Pada tahun 1977, kampus tetap ITM Cawangan Perlis mula beroperasi untuk fasa pertama dan siap sepenuhnya pada tahun 1980 dengan keluasan 335 ekar di Arau. Bagi projek fasa pertama, 5 buah asrama empat tingkat telah dibina berserta kompleks bangunan kayu sementara dan juga kemudahan-kemudahan sukan. Manakala bagi projek fasa kedua, bangunan tetap pentadbiran, perpustakaan dan bilik-bilik kuliah dibina. Majlis Isitiadat Peletakan Batu Asas di tapak tetap kampus cawangan di Arau telah dilaksanakan oleh D.YM.M. Tuanku Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail, Tuanku Raja Perlis pada 27 Julai 1978.
Objektif utama penubuhan kampus ITM Cawangan Perlis ini adalah untuk memberi peluang dan menambahkan bilangan bumiputera yang berpendidikan tinggi terutamanya di luar bandar. Semenjak tahun 1980, kampus cawangan ini juga telah menyediakan kursus luar kampus untuk kursus-kursus Diploma Perakaunan, Diploma Pentadbiran Awam, Diploma Perniagaan dan Pengurusan dan Diploma Pengurusan Bank.
Bangunan ITM Sementara di Padang Katong sekitar tahun 1974.
Majlis Istiadat Peletakan Batu Asas oleh Raja Perlis pada tahun 1978.
Pengambilan Pertama ITM Cawangan Perlis Sekitar tahun 1974
Sumber :
- ITM Warisan Bangsa
- Melakari Peristiwa Kampus-Kampus Cawangan
- Laman Sesawang, UiTM Cawangan Perlis