Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan bangganya mengumumkan kejayaan pelancaran nanosatelit keduanya, UiTMSAT-2, ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menerusi misi HTV-X1, yang dilancarkan menggunakan roket H3 F7 dari Pusat Angkasa Lepas Tanegashima, Jepun, tepat jam 8 pagi waktu Malaysia (9 pagi waktu Jepun), pada 26 Oktober 2025 (Ahad).

Detik-detik pelancaran H3 F7 Rocket yang membawa UiTMSAT-2 berlepas dari HTV-X1 pada 26 October 2025 jam 8:00 a.m. (Waktu Malaysia) di Tanegashima Space Center, Japan.

Pelancaran bersejarah ini turut disiarkan secara langsung oleh Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) dan menandakan satu pencapaian penting bukan sahaja bagi UiTM dan Malaysia, tetapi juga bagi rantau ASEAN. UiTM mengetuai misi satelit serantau pertama di bawah inisiatif ASEANSAT, yang bertujuan memajukan pembangunan teknologi angkasa dalam kalangan negara ASEAN. UiTMSAT-2 merupakan misi nanosatelit kedua UiTM, dibangunkan di bawah Projek ASEANSAT — sebuah kolaborasi serantau yang dimulakan pada tahun 2021 untuk memperkukuh penyelidikan dan pembangunan teknologi angkasa di rantau ASEAN.

Konfigurasi H3 F7 UiTMSAT-2

Nanosatelit bersaiz 1U CubeSat ini berukuran 10×10×11.35 cm dengan berat 1.1 kilogram, dan direka bentuk serta dibangunkan dengan lebih 60% sumbangan tempatan oleh pensyarah dan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM. Projek ini mendapat sokongan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan dilaksanakan dengan kerjasama institusi serantau dan antarabangsa seperti University of Perpetual Help System DALTA (UPHSD), Filipina, King Mongkut’s University of Technology North Bangkok (KMUTNB), Thailand dan Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Jepun.

Suasana dari Range Control Center, Tanegashima Space Center, Japan
Siaran langsung dari Tanegashima Space Center, Japan

UiTMSAT-2 dilengkapi dengan kamera beresolusi tinggi bagi demonstrasi fungsi pemerhatian bumi serta peranti komunikasi Internet of Things (IoT) berasaskan angkasa untuk menerima data dari bumi. Aplikasi teknologi ini bakal dimanfaatkan dalam bidang pemantauan alam sekitar, pengurusan bencana, serta peningkatan kesalinghubungan di kawasan luar bandar.

Selepas berjaya melepasi pemeriksaan ketat oleh JAXA di Kyutech dan ibu pejabat JAXA, Tokyo, pada Julai 2025, satelit ini telah diserahkan untuk persediaan pelancaran pada 25 Julai 2025. UiTMSAT-2 dijadualkan dihantar ke ISS menerusi roket H3 F7 (HTV-X1 Mission) pada 26 Oktober 2025, dan akan dilepaskan ke orbit bumi rendah (LEO) dari Japanese Experiment Module (JEM) Small Satellite Orbital Deployer (J-SSOD) pada suku pertama tahun 2026 (Q1 2026).

Misi ini melambangkan projek nanosatelit pertama yang diterajui oleh ASEAN, dengan UiTM sebagai institusi peneraju, sekaligus memperkukuh kedudukan UiTM sebagai hab serantau teknologi angkasa. Kejayaan UiTMSAT-2 bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi juga selaras dengan visi UiTM untuk menjadi Universiti Tersohor Dunia (Global Renowned University, GRU) menjelang tahun 2025.

Naib Canselor UiTM berkata:

“UiTMSAT-2 adalah bukti kemampuan dan daya saing penyelidik serta pelajar UiTM dalam bidang teknologi canggih. Ia mengangkat nama UiTM, Malaysia, dan ASEAN ke persada global melalui ilmu, inovasi dan kolaborasi.”

Ikuti sejarah awal tercipta pada 2018 di pautan artikel Pelancaran Satelit Pertama UiTMSAT-1 dari Stesen Tentera Udara, USA.