
Pada 29 Jun 2018, UiTMSAT-1 dilancarkan dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat menerusi roket SpaceX Falcon 9, pada jam 5.46 petang (5.46 pagi waktu Amerika Syarikat) ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Pelancaran ini melakar sejarah tersendiri kepada UiTM apabila ia menjadi universiti pertama negara melancarkan nanosatelit ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) diikuti pada 10 Ogos 2018, tepat jam 5.45 petang, NANO-satelit pertama Universiti Teknologi MARA, UiTMSAT-1, telah berjaya dilancarkan ke orbit dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Detik bersejarah ini turut disaksikan secara langsung melalui siaran Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA), dengan kehadiran Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi, Datin Dr. Siti Hamisah Tapsir serta Timbalan Naib Canselor Akademik UiTM, Prof. Dr. Mohd Kamal Harun di Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi MARA Shah Alam. Menurut Datin Dr. Siti Hamisah, pencapaian ini menjadikan UiTM universiti pertama di Malaysia yang berjaya menempatkan nano-satelit hasil penyelidikan penuntutnya sendiri.

UiTMSAT-1, adalah nanosatelit yang pertama bagi universiti di Malaysia yang dilancarkan pada 29 Jun 2018 ke Stesen Angkasa Antarabangsa (International Space Station), sekaligus menjadikan UiTMSAT-1 sebagai satelit nano pertama negara yang berjaya dilancarkan ke angkasa lepas. UiTMSAT-1 adalah hasil produk daripada projek Kerjasama BIRDS-2 (Joint Global Multi-Nation) dengan Bhutan dan Filipina yang diterajui oleh Kyushu Institute of Technology (KyuTech), Jepun. Dua orang pelajar pascasiswazah Malaysia (daripada UiTM iaitu Syazana Basyirah binti Mohammad Zaki dan Muhammad Hasif bin Azami) merupakan antara 11 orang pelajar yang menjadi ahli kerjasama BIRDS-2 ini. Mereka adalah pelajar yang bertanggungjawab dalam merealisasikan pembinaan dan pelancaran tiga buah nano-satelit BIRDS-2 iaitu UiTMSAT-1, BHUTAN-1, (bagi negara Bhutan) dan MAYA-1 (bagi negara Filipina).
Perancangan projek penyelidikan dan pembangunan UiTMSAT-1 bermula sejak Januari 2016 dan secara rasminya bermula pada November 2016 dengan menyertai projek kerjasama pintar BIRDS-2 bersama dengan negara Jepun, Filipina, dan Bhutan untuk pembinaan satelit nano. pembinaan satelit nano UiTMSAT-1 bersama-sama dengan BHUTAN-1, dan MAYA-1 telah siap pada April 2018 dan berjaya dilancarkan ke ISS pada 29 Jun 2018.
PEMBANGUNAN
Projek ini dijalankan sepenuhnya di Kyushu Institute of Technology, Jepun. UiTMSAT-1 yang dibina sepenuhnya oleh 2 orang pelajar ini di bawah seliaan rapi oleh pensyarah dan penyelidik dari Jepun, Malaysia dan Filipina. UiTMSAT-1 yang telah dibangunkan di dalam projek ini adalah bersaiz 1U, iaitu 10cm x 10cm x 10cm dan berbentuk kubik. Anggaran berat UiTMSAT-1 adalah 1kg. Ia dilancarkan di Orbit Rendah Bumi (Low Earth Orbit), di ketinggian antara 350km-600km daripada Bumi.
UiTMSAT-1 bersama dengan 2 satelit nano yang lain perlu dilancarkan ke ISS sebelum dilepaskan ke ruang angkasa pada 10 Ogos 2018 pada ketinggian orbit sekitar 400km dari Bumi. Satelit nano ini akan mengorbit bumi dengan kelajuan sekitar 28,000km/j, yang mengambil masa 90 minit sahaja untuk melengkapkan 1 putaran bumi.

Prototaip dengan saiz sebenar satelit nano UiTMSAT-1 kini dipamerkan di Galeri Tun Abdul Razak, UiTM Shah Alam. Pada tahun 2025, UiTM mencipta sejarah dengan Pelancaran Satelit UiTMSAT-2 ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 26 Oktober 2025.
Sumber :
- Laman Web Rasmi https://birds2.birds-project.com/
- BHUTAN-1, Bhutan's first space borne satellite deployed from ISS on 10 August." (10 Ogos 2018). The Bhutanese.
- UiTMSAT-1 puts Malaysia at the final frontier. (17 Julai 2018). New Straits Times.
- CubeSats from Malaysia, Bhutan & the Philippines deployed from the ISS." (15 Ogos 2018). SpaceTech Asia.
- Liputan berita UiTMSAT-1 – Nano-Satelit Pertama Negara [11 Ogos 2018] https://www.youtube.com/watch?v=ujglVlfSIpM
-
Liputan berita Harian Metro - UiTMSAT-1 dilancar ke orbit https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/08/366887/uitmsat-1-dilancar-ke-orbit