Fakulti Pergigian di UiTM Kampus Sungai Buloh

Sistem kesihatan di Malaysia mengalami perkembangan yang sangat pesat, sejajar dengan perkembangan ekonomi, peningkatan populasi dan taraf hidup masyarakat serta perkembangan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan pergigian adalah amat tinggi dan memerlukan tindakan mantap bagi menghadapi masalah ini. Hasrat Naib Canselor UiTM adalah bagi melengkapkan kursus berasaskan perubatan dengan menubuhkan Fakulti Pergigian untuk menawarkan program Sarjana Muda Pembedahan Pergigian.

Kertas kerja Program Sarjana Muda Pembedahan Pergigian dan penubuhan Fakulti Pergigian telah dibentangkan pada 22 Februari 2005 kepada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan telah mendapat kelulusan pada 4 Mei 2006. Pengambilan pelajar sulung program Sarjana Muda Pembedahan Pergigian adalah seramai 30 orang bagi Sesi 2006 / 2007. Pengambilan akademik adalah setiap tahun dan telah meningkat kepada 50 orang pelajar pada sesi 2014/2015. Pengambilan terbaru pada sesi 2015/16 seramai 80 orang dimana kemudahan yang disediakan di kampus baru Sungai Buloh adalah mencukupi bagi proses pengajaran dan pembelajaran. Kampus baru Sungai Buloh ini telah diserahkan kepada pihak UiTM secara rasminya pada 1 September 2015. Penubuhan Fakulti Pergigian telah melengkapkan UiTM sebagai sebuah universiti komprehensif di Malaysia yang menawarkan pelbagai bidang mengikut keperluan industri di negara ini.

Ikuti sejarah Majlis Penyerahan Fakulti Pergigian UiTM Kampus Sungai Buloh oleh Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Pendidikan Tinggi di pautan https://library.uitm.edu.my/uitmmemory/bangunan/fakulti-pergigian-uitm-kampus-sungai-buloh

Sumber : Unit Arkib UiTM Cawangan Selangor