Bangunan Fakulti Teknologi Maklumat dan Sains Kuantitatif (FTMSK) ITM Shah Alam telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak, Menteri Pendidikan Malaysia pada 25 Februari 1999 bersamaan 08 Zulkaedah 1419 Hijrah. Turut mengiringi YB Menteri Pendidikan ialah Pengerusi ITM, Tan Sri Datuk Wira Abdul Rahman Arshad dan Rektor lTM, Yang Berbahagia Dato' Dr Ir Hj Ahmad Zaidee Laidin.

Melalui Cetusan Rasa YB Menteri mengungkapkan “Berdiri megahnya bangunan FTMSK di puncak bukit ini menandakan betapa pesatnya ITM telah berkembang sejak ia ditubuhkan pada tahun 1966. Inilah fakulti IT yang terulung di Malaysia dan sumbangan serta jasa fakulti ini kepada negara cukup besar”.

FTMSK lahir sebagai Actuarial Science, Statistics, Mathematics, Economics and Cybernatics (ASMEC) pada 1966 dan seterusnya sebagai Kajian Sains Ilmu Hisab dan Komputa (1968) kepada Kajian Sains Matematik dan Komputer (1980) dan seterusnya Fakulti Teknologi Maklumat dan Sains Kuantitatif (1997).