Unit Asrama dan Pengurusan Makanan adalah satu daripada bahagian terpenting di dalam struktur organisasi Institut Teknologi MARA (ITM) di bawah Hal Ehwal Pelajar yang ditubuhkan khas untuk memberi perkhidmatan kebajikan kepada pelajar-pelajar sama ada dari segi lahiriah mahupun dari segi rohaniah. Antara peranan ini adalah menyediakan kemudahan tempat tinggal pelajar serta alat-alat perabot  dan juga  menyediakan kemudahan makanan kepada pelajar-pelajar yang tinggal di asrama.

Tiap-tiap asrama ditadbirkan oleh warden dengan bantuan beberapa orang pegawai lain. Antara asrama yang ada di ITM pada ketika itu adalah :

 

 Asrama 1 (Cempaka)                            Asrama 2 (Kenanga)

 

Asrama 3 (Seroja)                               Asrama 4 (Perindu)

1.Asrama 1 & Asrama 2 (Perempuan):

  • Dibina pada tahun 1972.
  • Merupakan asrama yang pertama dibina dan dikenali sebagai Kolej Cempaka dan Kolej Kenanga.

2.Asrama 3 (Perempuan):

  • Dibina pada tahun 1973 dan dikenali sebagai Kolej Seroja.
  • Merupakan asrama perempuan kedua dibina selepas Asrama 1 & Asrama 2 yang mempunyai 3 blok.

3.Asrama 4 (Lelaki)

  • Dibina selepas Asrama 3 pada tahun 1974 dan dikenali sebagai Kolej Perindu.
  • Asrama 4 merupakan satu-satunya asrama lelaki di dalam kampus pada ketika itu dan mempunyai 4 blok yang mampu menempatkan seramai 1,600 pelajar lelaki.

4.Asrama Jalan Klang Lama/ Asrama Jalan Othman (Lelaki dan Perempuan)

  • Asrama Jalan Klang Lama dikenali sebagai Asrama Beringin.
  • Asrama Jalan Othman dikenali sebagai Asrama Masmerah.

Bagi mengatasi masalah kekurangan tempat (asrama), untuk pelajar lelaki, pihak ITM telah menyewa sebanyak 146 unit rumah berderet PKNS di seksyen 2 dan 6, shah alam, yang mampu menampung seramai 1,200 pelajar. Sementara itu, Asrama Jalan Othman mampu menampung seramai 236 orang pelajar wanita, dan Asrama Jalan Klang Lama pula mampu menampung seramai 216 orang pelajar lelaki.

Hampir semua pelajar di kampus induk diberi kemudahan makanan di dewan-dewan makan asrama. Bagi pelajar di kampus cawangan pula, mereka diberi kemudahan asrama sahaja termasuk elaun makan kerana tiada kelengkapan dewan makan disediakan. Walau bagaimanapun, tiap-tiap kampus cawangan dilengkapkan dengan kafeterianya sendiri.

 

Sumber :

  1. Peristiwa-peristiwa penting Institut Teknologi MARA (1956 - 1980).
  2. Warta ITM 1976, 1977, 1978, 1979.
  3. Berita ITM 1982, 1983.