Projek Bangunan Pejabat Korporat ini telah dirancang untuk dibangunkan dalam Rancangan Malaysia ke 6. Projek ini telah ditawarkan kepada Pelangi Wira Sdn. Bhd. secara rundingan terus dan mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dengan kos pembangunan sebanyak RM25.25 juta. Ianya mula dibina pada 25 November 2002 dan siap sepenuhnya pada 18 Januari 2005. Ia dinamakan sempena Tuanku Canselor UiTM yang kedua iaitu KeBawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ke-11 Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Bangunan ini merupakan mercu tanda bagi Universiti Teknologi MARA. Rekabentuk bangunan ini mempunyai identiti yang unik dan tersendiri serta menonjolkan imej korporat serta memenuhi keperluan dan keselesaan pihak pengurusan UiTM. Terdapat juga, kemasan luaran seperti curtain wall, cladding dan konsep hiasan dalaman seperti plaster ceiling dan perabot yang mengambil kira nilai estetik sesuai dengan imej korporat.

Bangunan berkapasiti 200 orang ini menempatkan pengurusan tertinggi UiTM iaitu Naib Canselor UiTM, Timbalan Naib Canselor, Penolong Naib Canselor, Pendaftar dan Bendahari bagi memastikan pengurusan dan pentadbiran UiTM dapat dijalankan dengan lebih efisien. Bangunan ini juga menyediakan kemudahan bagi DYMM Yang Di-Pertuan Agong selaku Canselor UiTM, Pro Canselor serta Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti.

Lokasi bangunan dianggap sesuai dan strategik. Ianya terletak di atas bukit berhadapan pintu masuk utama Kampus Shah Alam dengan keluasan tanah seluas 3 ekar. Projek ini mempunyai beberapa komponen seperti berikut:

  1. Bangunan 7 tingkat
  2. Tempat Letak Kereta 2 tingkat
  3. Kemudahan infrastruktur seperti jalan penyambung, landskap dan kerja-kerja luaran.

Pada 18 November 2006 bertempat di tapak perasmian berhadapan air terjun, SPB Tuanku Canselor UiTM yang ke-2 telah merasmikan Bangunan Canseleri UiTM dan bagi mengenang jasa bakti Baginda, bangunan Canseleri ini dinamakan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin.

Sumber

  1. Memori Korporat Arkib Universiti
  2. UiTM Official Instagram