Lebih 1600 orang lulusan ITM akan melangkah gagah di Dewan Seri Budiman pada 11 dan 12 Oktober 1980 ini menerima anugerah dari Pengerusi Majlis ITM, YB Datuk Mansor Othman. Dengan Konvokesyen ke 20 ini bererti ITM telah pun melahirkan hampir 15 ribu orang lulusan. Umur ITM sendiri menjangkau 25 tahun.
Dengan penubuhan RIDA yang mengambil 25 orang pelajar untuk peperiksaan LCC, maka bandingkanlah pula dengan penghasilan lebih 1600 orang graduan tahun ini. Tidak dapat diragukan lagi bahawa geraf kelahiran graduan terus meningkat setiap tahun. Tema Konvokesyen kali ini ialah 'Berusaha Ke arah Kecemerlangan'. Tema ini menekankan kepada kesungguhan para lulusan mencapai kecemerlangan ilmu. Bagaimanapun, mereka diingatkan bahawa kecemerlangan juga melibatkan kesediaan mereka menerjunkan diri ke alam kerjaya yang penuh mencabar baik di pihak kerajaan, swasta mahupun pada usaha berdikari, tanpa perlu bersandar pada alam kehidupan makan gaji.
Rujukan:
Tema Konvo Oktober 80: BERUSAHA KE ARAH KECEMERLANGAN (Bil. 49/50 September/Oktober 1980). Warta ITM, p. 1.