DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan sedang disarungkan jubah Ijazah Kehormat Undang-Undang
oleh Jeanete Graseli, Chairperson Ohio Universiti Board of Trustee dengan dibantu oleh Mr. Dennis B. Hefernan
Majlis Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang kepada D.Y.M.M. Tuanku Jaafar Ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman, Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus telah diadakan di Dewan Sri Budiman, Institut Teknologi MARA, Shah Alam pada 21 Julai 1990. Penganugerahan oleh Universiti Ohio, Athens, Amerika Syarikat ini adalah sebagai mengiktiraf peranan baginda dalam mempelopori dan mewujudkan perhubungan pendidikan di antara Universiti Ohio dan Malaysia.
Sebelum ini Universiti Ohio telah menganugerahkan dua Ijazah Kehormat kepada dua rakyat Malaysia iaitu YBhg. Tan Sri Datuk Arshad Ayub, bekas Pengarah ITM pada tahun 1973 dan Allahyarham YBhg. Tun Hussein Onn, bekas. Perdana Menteri Malaysia, pada tahun 1981.
D.Y.M.M. Tuanku Jaafar melahirkan rasa terima kasih di atas penganugerahan tersebut dan berharap perhubungan yang ada dapat dipertingkatkan lagi ketahap yang lebih tinggi. Beliau yang menjadi perintis dan pengasas hubungan dua hala ini telah diraikan dengan santapan tengahari di Sri Impian oleh ITM pada 21 Julai 1990. Baginda juga telah diraikan dengan jamuan teh oleh Alumni Universiti Ohio di PJ Hilton dan santapan malam di Dewan Banquet oleh pihak Universiti Ohio di Bangunan Parlimen pada 22 Julai 1990.
Sumber:
Buletin Berita ITM: Akhbar rasmi Institut Teknologi MARA, Bil.90/ Julai 1990