Istiadat Konvokesyen adalah suatu simbolik bagi meraikan kejayaan setiap mahasiswa di UiTM yang mana suatu detik indah yang amat dinanti-nantikan oleh setiap mahasiswa amnya dan para graduan khususnya. Jabatan Seni Reka Teknologi Barang Kemas di bawah Kolej Pengajian Seni Kreatif telah dilantik menjadi pengurus rasmi pengeluaran Cincin Graduasi UiTM (CGU) bagi Istiadat Konvokeyen UiTM seluruh Malaysia.

“Cincin graduasi ini merupakan elemen penting dalam membentuk jati diri sebagai graduan dan alumni dan ianya tidak lagi asing kerana telah diperkenalkan oleh lain-lain universiti dalam dan luar negara.”

Kecemerlangan ilmu dan prestasi akademik serta kekuatan nilai kemahiran diri adalah aspek penting yang perlu dimiliki oleh setiap mahasiswa sebelum bergelar sebagai seorang siswazah. Aspek-aspek ini boleh dirangsang dengan pelbagai sumber dan wasilah yang kognitif dan ilmiah. Oleh itu, Jabatan Seni Reka Teknologi Barang Kemas, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Shah Alam telah menggalas tanggungjawab ini untuk menghasilkan Cincin Graduasi UiTM (CGU) sebagai suatu simbolik bagi meraikan kejayaan setiap mahasiswa di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menurut Naib Canselor UiTM, Datuk Prof.Dr. Roziah Mohd.Janor, cincin yang direka oleh Kumpulan Kreatif Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) UiTM itu diberi nama Cincin Graduasi UiTM (CGU).

“Alhamdullillah CGU yang saya impikan menjadi kenyataan sejak idea tersebut timbul dua tahun lalu. Saya difahamkan UiTM menjadi universiti pertama menginovasikan cincin inovasi dengan rekaan diiktiraf pakar barang kemas dari universiti dan pemain industri.

“Kita kini mempunyai 700,000 alumni dan sasaran jualan CGU adalah 10,000 unit dan jika boleh jadikan cincin ini bukan sekadar hiasan tetapi kenangan indah semasa alumni menuntut ilmu di UiTM,” katanya selepas melancarkan CGU di Bangunan Canseleri UiTM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Roziah berkata, kira-kira 500 unit cincin yang mempunyai bahan logam berkualiti yang boleh dipakai lelaki dan wanita sedia ditempah bagi fasa pertama yang dijual antara RM170 hingga RM195.

 

Sumber:
1. Cincin Graduasi UiTM