Pada 23 Februari 1990 telah diadakan acara Apresiasi Filem bertempat di Auditorium PSPP Institut Teknologi MARA (ITM). Acara ini bertujuan mendekatkan para pelajar, khususnya dalam bidang komunikasi, kepada masalah penghayatan sebuah filem.
Ketua Kursus (Penyiaran) Kajian Sebaran Am Institut ITM, A. Ahmad Riduan Abdul Rahman berkata, ini merupakan kali pertama ITM mengadakan acara serupa itu dan ianya akan dijadikan acara bulanan sekiranya mendapat sambutan baik.“Kami telah mendapat kerjasama dari ISMANUSA, sebuah syarikat perfileman di sini untuk mengadakan acara apresiasi filem ini yang mana filem pertama yang akan kami tayangkan untuk penghayatan berjudul “Naga Bonar” katanya.
Acara ini merupakan projek baru ITM yang mana selama ini telah mengadakan berbagai projek untuk memperkenalkan bidang kursus Sebaran Am tetapi belum mengadakan acara untuk mengetengahkan para pelajarnya. Pada acara itu, para pelajar juga akan berpeluang mendengar ceramah dari penerbit Naga Bonar, A. Bustal Nawawi, seorang penerbit filem Indonesia yang begitu berminat meningkatkan industri perfileman Malaysia.
Rujukan:
Abdullah, S. (1990, February 23). Pertama kali ITM adakan acara apresiasi filem. Utusan Melayu.