- PTAR, Shah Alam
- News
- Hits: 7187
Datuk Ja’afar Mahad Rasmikan Sekretariat Pencegahan Rasuah UiTM, Pameran Hasil Usahasama PTAR
SHAH ALAM, 18 Mac 2010 — Universiti Teknologi MARA (UiTM) menubuhkan sebuah Sekretariat Pencegahan Rasuah bagi mendidik pelajar di peringkat pengajian tinggi supaya bersama-sama memerangi gejala rasuah.
Penubuhan sekretariat ini adalah hasil kerjasama tiga pihak, iaitu Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Persatuan Pentadbir UiTM, dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR). Menurut Pendaftar UiTM, Dr. Zahrah Mokhtar, inisiatif tiga penjuru ini merupakan langkah yang baik dalam meningkatkan integriti dan mencegah rasuah dalam kalangan masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa nilai integriti perlu dipupuk dalam kalangan pelajar kerana ia merupakan maruah yang tidak boleh dijual, diwarisi atau ditukar ganti dengan wang ringgit. “Aspek integriti perlu ditonjolkan oleh warga UiTM, manakala pelajar harus mengamalkan sifat bersih, cekap dan jujur dalam diri masing-masing. Penularan rasuah dalam masyarakat akan memberikan kesan negatif kepada negara kerana ia merupakan manfaat yang bercanggah dengan undang-undang,” katanya ketika merasmikan sekretariat tersebut semalam.
Majlis perasmian turut dihadiri Pengarah SPRM Selangor, Datuk Ja’afar Mahad; Ketua Pustakawan PTAR, Haron Wee Ah Boo; serta kakitangan dan pelajar UiTM. Sekretariat ini merupakan yang kedua ditubuhkan selepas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Kajian yang pernah dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum ini mendapati 35 peratus pelajar institusi pengajian tinggi bersedia menerima rasuah jika berpeluang.
Sementara itu, Datuk Ja’afar Mahad berharap program ini dapat memberi pendedahan kepada pelajar tentang kepentingan ketelusan dan integriti apabila memasuki alam pekerjaan kelak. “Kita perlu mengubah pemikiran masyarakat. Selepas itu, kita akan berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Penubuhan sekretariat SPRM ini diharapkan dapat memberi pendidikan berkesan dalam usaha pencegahan rasuah,” ujarnya.


