SHAH ALAM, 1 Mac 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencatat sejarah baharu apabila secara rasminya melantik YBhg. Profesor Datin Dr. Suzana Sulaiman, Profesor Kanan dari Fakulti Perakaunan UiTM, sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang baharu, berkuatkuasa mulai 1 Mac 2022.
Perlantikan ini merupakan satu pencapaian penting bagi UiTM, memperlihatkan kepercayaan tinggi pihak universiti terhadap kebolehan dan kepakaran Profesor Datin Dr. Suzana dalam memacu agenda akademik dan antarabangsa universiti ke arah kecemerlangan global.
Dengan pengalaman luas dalam bidang akademik dan kepimpinan, serta sumbangan besar dalam pembangunan kurikulum, penyelidikan dan pengantarabangsaan, Profesor Datin Dr. Suzana membawa aspirasi untuk memperkukuh kedudukan UiTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Sebagai tokoh wanita yang dihormati dalam bidang pendidikan tinggi, beliau telah memainkan peranan penting dalam memperjuangkan agenda pemerkasaan akademik, inovasi pengajaran dan pembelajaran serta memperluaskan jalinan kerjasama strategik dengan institusi luar negara.
Perlantikan ini turut menjadi satu simbol kemajuan dalam usaha UiTM memperkukuh barisan kepimpinan yang berwibawa, selari dengan hasrat universiti untuk menjadi universiti unggul bertaraf dunia menjelang tahun 2025.
Semoga perlantikan ini akan terus memacu UiTM ke arah pencapaian yang lebih gemilang dalam landskap pendidikan tinggi negara dan antarabangsa.