Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dilantik sebagai Canselor UiTM yang ke-2 pada 13 Disember 2001 setelah diisytiharkan pada Majlis Pemahsyuran pada 7 Mac 2002. Baginda merupakan Yang di-Pertuan Agong yang ke-12 selepas Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Al-Marhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah. Baginda merupakan Raja yang memerintah Negeri Perlis Indera Kayangan sejak 24 April 2002 hingga sekarang. Baginda diputerakan di Arau, Perlis pada 17 Mei 1943. Baginda merupakan putera kedua daripada 10 putera dan puteri Almarhum Tuanku Syed Putra JamalulIail dan Tengku Budriah Tengku Ismail. Baginda mendapat pendidikan awal di Arau Malay School, Wellesley Primary School, Pulau Pinang dan Westland Primary School, Pulau Pinang. Pendidikan menengah pula adalah di Penang Free School, Pulau Pinang dan melanjutkan pengajian di Wellingborough Public School, England dari tahun 1959-1963. Baginda juga telah menjalani kursus Pegawai Kadet di Akademi Tentera di-Raja pada Januari 1964 - Disember 1965.
Pelantikan Yang di-Pertuan Agong sebagai Canselor UiTM adalah mengikut Seksyen 19A(2) Akta UiTM (Pindaan) 2000 yang menyebut ‘Canselor UiTM ialah Yang di-Pertuan Agong secara langsung sepanjang tempoh pemerintahannya. Ia selaras dengan asas penubuhan UiTM di atas Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Maka, tanggungjawab untuk memelihara keistimewaan golongan tersebut adalah terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong’.
Sebagai Canselor UiTM, walaupun baginda sibuk dengan tugasan seharian dan perlu menghadiri pelbagai urusan rasmi, baginda tidak pernah lupa kepada tanggungjawab dan peranan dalam pembangunan UiTM. Setiap kali penganjuran majlis konvokesyen UiTM, baginda akan mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan kakitangan dan para pelajar UiTM.
Sumber:
1. Repositori Canselor UiTM