Mac 1926, jam 3.30 petang di Istana Kuala Langat, Selangor. Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj merupakan putera sulung dari tujuh anakanda kepada Almarhum Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah Al Haj dan Almarhum Raja Hajah Jemaah binti Raja Ahmad. Asal keturunan baginda dapat dikesan dari Mengkasar, Pulau Sulawesi yang telah datang menetap dan memerintah Negeri Selangor sejak awal kurun ke- 17. Baginda merupakan Yang Di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-11 bermula 26 April 1999-21 November 2001 dan juga Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Baginda menjadi Sultan Selangor selama 41 tahun dari tahun 1960-2001.

Semasa berusia 8 tahun, baginda memasuki Sekolah Melayu Pangkalan Batu, Klang pada tahun 1934. Dua tahun kemudian, beliau melanjutkan pengajian di Maktab Melayu Kuala Kangsar bersama-sama kalangan elit Melayu pada ketika itu. Persekolahan baginda terganggu dengan tercetusnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1941. Baginda terpaksa kembali dan bersemayam di Istana. Pada tahun 1947-1949 baginda menyambung pengajian di School of Oriental and African Studies, Universiti London untuk mempelajari bidang pentadbiran awam dan Bahasa Inggeris.

Baginda kembali ke tanahair pada tahun 1950 dan dilantik menjadi Pegawai Tadbir Pelatih di Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Oleh kerana minat dan keperihatinan baginda terhadap mutu pendidikan dan pelajaran negeri, baginda memutuskan untuk berpindah pula ke Jabatan Pelajaran Negeri sebagai Nazir sekolah-sekolah. Baginda telah menghembuskan nafas terakhir pada 21 November 2001 di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Kuala Lumpur. Kemangkatan Almarhum sememangnya amat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat. Universiti Teknologi MARA sangat mengagumi ketokohan Almarhum. Semoga roh dan jasad Almarhum akan sejahtera dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Alfatihah.


Sumber:

1. Repositori Canselor UiTM

2. Bahagian Governan dan Sekretariat Universiti, Pejabat Pendaftar

3. Koleksi Penganugerahan Ijazah Kehormat UiTM 2012