Tuanku Mizan Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dilantik sebagai Canselor UiTM yang ke-3 semasa Majlis Pemasyuran Canselor UiTM pada 5 Mac 2007. Baginda merupakan Yang di-Pertuan Agong yang ke-13 selepas Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail. Pemilihan baginda telah dilakukan oleh Majlis Raja-Raja yang telah bersidang pada 3 November 2006 dan baginda adalah salah seorang Yang di-Pertuan Agong yang termuda dalam sejarah negara. Istiadat melafaz sumpah telah disempurnakan di Istana Negara pada 13 Disember 2006.
Baginda telah diputerakan pada 22 Januari 1962 di Istana Al-Muktafi, Kuala Terengganu. Baginda merupakan putera sulung daripada tujuh bersaudara. Baginda telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman dan Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Terengganu. Baginda berangkat ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah berprestij iaitu Geelongs Grammar School, Geelong, Australia pada tahun 1979.
Pada 6 November tahun yang sama, baginda telah dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Muda Negeri Terengganu Darul Iman. Pada 15 Mei 1998, Tuanku Mizan Zainal Abidin telah dimasyurkan sebagai Sultan yang memerintah Negeri Terengganu Darul Iman serta segala jajahan takluknya ketika berusia 36 tahun. Pada 20 Oktober 1990, baginda dilantik menjadi pemangku Sultan Terengganu buat kali pertama sehingga 8 November 1990. Mulai 1 Jun 1991, baginda juga adalah Yang di-Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu sehingga Disember 1995. Baginda merupakan seorang raja yang amat mengambil berat tentang kebajikan rakyat.
Sumber:
1. Repositori Canselor UiTM