Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Star, Kedah Darul Aman. Baginda telah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum menyambung pelajaran di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Star, Kedah Darul Aman. Baginda telah berangkat ke United Kingdom bagi menyambung pelajaran di Wadham College, Oxford London pada awal tahun 1952 dalam jurusan Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam. Sewaktu di United Kingdom, Baginda dilantik sebagai Raja Muda Negeri Kedah pada 6 Ogos 1949.
Baginda telah dilantik menaiki takhta Kerajaan Negeri Kedah pada 14 Julai 1958 berikutan kemangkatan ayahanda Baginda Almarhum Sultan Badlishah. Baginda Tuanku telah ditabalkan dengan rasminya sebagai Sultan Kedah Darul Aman pada 20 Februari 1959. Pada 21 September 1965, Baginda telah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang ke-4 oleh Majlis Raja-Raja manakala pada tahun 1970 telah dilantik menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-5 di antara tahun 1970-1975.
Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dilantik sebagai Canselor UiTM yang ke-4 semasa Istiadat Pemasyhuran Canselor UiTM pada 12 Mei 2012. Sempena lawatan Baginda ke ITM pada 28 Ogos 1973, Baginda telah menanam pokok berhampiran Galeri Tuanku Nur Zahirah yang dahulunya adalah Pejabat Pengarah ITM.
Pada tanggal 13 Disember 2011, bersempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-227 (khas) Baginda dengan rasminya telah memegang amanah memerintah negara buat kali kedua sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 selepas Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.
Sumber:
1. Repositori Canselor UiTM