Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V telah diputerakan pada tanggal 06 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu , Kelantan. KDYMM Seri Paduka Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1 Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran Baginda di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur. Baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada ulang tahun keputeraan Baginda yang ke-16 iaitu pada 6 Oktober 1985.
Minat Baginda ya ng mendalam terhadap bidang ilmu dan pendidikan telah mendorong Baginda untuk berangkat ke England bagi menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland sehingga tahun 1989. Seterusnya Baginda meneruskan pelajaran dalam bidang Pengajian Diplomatik di St. Cross College, Oxford dan dalam bidang Pengajian Islam di Oxford Centre sehingga 1991.
Pada tanggal 24 Mei 2009, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda telah dilantik menjadi Pemangku Raja Kelantan. Pada 13 September 2010 Baginda telah menaiki takhta Kerajaan Negeri Kelantan dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29. Seterusnya pada 13 Disember 2011 Baginda telah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dan pada tahun 2016, Majlis Raja-Raja telah melantik Baginda sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-15 berkuatkuasa pada 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun. Istiadat melafaz sumpah jawatan telah disempurnakan pada 13 Disember 2016. Watikah pemasyhuran baginda dipersembahkan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Seri Idris Jusoh.
Sumber:
1. Repositori Canselor UiTM