Pada 22 Januari 2018, berlangsung Majlis Perasmian Cashless@UiTM bertempat di UiTM Selangor, Kampus Sungai Buloh. Majlis bersejarah ini telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Sri Idris Jusoh dan dihadiri barisan Pengurusan UiTM dan warga kampus. Kerjasama strategik antara UiTM dan Boost, sebuah syarikat pembangun aplikasi dompet elektronik, membuka lembaran baharu ke arah transformasi digital. Inisiatif ini akan dilaksanakan di semua kampus negeri UiTM di seluruh negara, menjadikan UiTM sebagai kampus terbesar yang mengamalkan urusan tanpa tunai dan tanpa kad di Malaysia.

Menurut The New Straits Times, semua kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) bakal beroperasi secara tanpa tunai (cashless) melalui kerjasama strategik dengan Boost, aplikasi dompet mudah alih milik Axiata. Pelancaran kampus tanpa tunai terbesar setakat ini diadakan di UiTM Kampus Sungai Buloh, dan telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Idris Jusoh. Menurut beliau. “Masa depan bukan sekadar tanpa tunai, tetapi juga tanpa kad. Jika urusan masih memerlukan kad, ia belum benar-benar tanpa tunai”. Inisiatif ini dilihat sebagai langkah selari dengan Revolusi Industri Keempat (IR4.0), yang akan memberi peluang kepada pelajar UiTM untuk menyesuaikan diri dengan gaya urus niaga masa depan sebelum melangkah ke dunia sebenar.

Sumber :

  1. New Straits Times (https://www.nst.com.my/news/nation/2018/01/327728/uitm-campuses-go-cashless-boost-app)
  2. Blog Perpustakaan UiTM (https://perpustakaanuitm.blogspot.com/2018/01/sekitar-majlis-perasmian-cashlessuitm.html)