Bermula dari lawatan Menteri Pelajaran Malaysia, Dato’ Sri Najib Tun Razak ke Fakulti Kejuruteraan ITM Shah Alam pada 5 September 1995 telah dicadangkan untuk mewujudkan satu bangunan yang sesuai dalam usaha untuk mengembangkan Kajian Kejuruteraan.
Bertitik tolak daripada lawatan tersebut, satu jawatankuasa telah ditubuhkan dan dua kertas kerja telah diusulkan, antaranya ialah pembinaan bangunan baharu dengan seni bina moden yang dilengkapi dengan fasiliti terkini untuk pengajian kejuruteraan. Sehubungan itu, sejumlah RM200 juta telah diperuntukan untuk pembinaan bangunan ini.
Pada tahun 1996 melalui Rancangan Malaysia Ketujuh (RMKe-7), Kerajaan Malaysia telah meluluskan RM200 juta untuk projek pembinaan Kompleks Kejuruteraan dan peruntukan tersebut juga akan digunakan untuk membeli peralatan-peralatan baharu bagi menampung jumlah pelajar dan staf yang kian bertambah. Pada tahun 1996 melalui kelulusan Majlis ITM, pengstrukturan baharu telah dibuat ke atas Kajian Kejuruteraan di mana kajian tersebut telah dikembangkan kepada 3 kajian iaitu Kajian Kejuruteraan Awam, Kajian Kejuruteraan Mekanikal dan Kajian Kejuruteraan Elektrikal.
Dengan kelulusan yang dikeluarkan pada tahun 1996, projek pembinaan Kompleks Kejuruteraan ini mengambil masa selama 4 tahun yang bermula pada tahun 1998 di kawasan yang dahulunya adalah ladang kelapa sawit. Projek ini telah mengalami kelewatan disebabkan oleh krisis kegawatan ekonomi di Malaysia pada tahun 1998. Namun begitu ia tetap diteruskan sehingga berjaya disiapkan pada tahun 2002.
Selain menempatkan Fakulti Kejuruteraan, kompleks ini juga pernah menempatkan Fakulti Perubatan di menara 1 bermula pada 15 Mac 2004 sehingga fakulti tersebut berpindah ke UiTM Kampus Selayang pada tahun 2010. Antara kemudahan yang terdapat di kompleks ini ialah Perpustakaan Tun Abdul Razak 3 yang mula beroperasi pada tahun 2003 dan Perpustakaan Tun Abdul Razak 4 yang mula beroperasi pada tahun 2004.
Kompleks Kejuruteraan ini telah diberi nama baharu iaitu Kompleks Kejuruteraan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan nama ini dikekalkan melalui Pekeliling Naib Canselor Bilangan 28 Tahun 2020.
Sumber:
- Documenting A Destiny 1956-2006, History of Universiti Teknologi MARA.
- Laporan Tahunan ITM/UiTM 1996, 1997, 1998, 1999 & 2002.
- Buku Sejarah Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM.
- Pekeliling Naib Canselor Bilangan 28 Tahun 2020.
- Koleksi Gambar Jabatan Arkib Universiti.