ljazah Kehormat Doktor Undang-Undang YAA Tun Dato' Sri (Dr) Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim
Istiadat Konvokesyen ke 66 (2007)

Tun Dato' Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dilahirkan di Alor Star, Kedah pada 1 November 1941. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sungai Korok Lama dan di Sekolah Rendah Sungai Korok Baru. Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah.

Tun Fairuz melanjutkan pelajaran di Universiti Singapura dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) (LLB Hons) pada tahun 1966. Pada tahun 1979, beliau melanjutkan pelajaran di University Brussels, Belgium dan memperoleh Ijazah Sarjana Undang-Undang Antarabangsa dan Perbandingan (LL.M International and Comparative Law).

Pengalaman awal Tun Fairuz dalam karier undang-undang bermula pada Jun 1967 apabila beliau dilantik sebagai Majistret di Pulau Pinang dan pada tahun 1968 di Johor Bahru. Pada Jun 1969, beliau dilantik sebagai Presiden Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang. Antara tahun 1970 hingga 1971, beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Johor dan Kuala Lumpur. Pada awal tahun 1972, beliau bertugas sebagai Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur dan pada tahun yang sama menjadi Penasihat Undang-Undang di Kementerian Dalam Negeri.

Beliau kemudian menyandang jawatan Penasihat Undang-Undang di Negeri Kedah, Perlis, Johor dan Selangor antara tahun 1977 hingga 1985. Tun Fairuz juga pernah memegang jawatan Pegawai Pemegang Harta Malaysia, Timbalan Penggubal Undang-Undang Parlimen, Jabatan Peguam Negara, Ketua Hakim Peguam di Kementerian Pertahanan, Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri (1987) dan Pengerusi Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (1988). Pada Disember 1988, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Kuala Terengganu.

Antara tahun 1990 hingga 1995, beliau memulakan kerjaya sebagai Hakim Mahkamah Tinggi apabila dilantik di Kuala Terengganu, Ipoh dan Kuala Lumpur. Sebelum dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 14 Mac 2003, Tun Fairuz pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur, Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia, Hakim Besar Malaya, Mahkamah Persekutuan Malaysia dan Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia.

Sepanjang hampir 40 tahun dalam perkhidmatan undang-undang, beliau telah membuat pelbagai keputusan penting. Antaranya termasuk kes MAE Perkayuan lawan Bank Bumiputra (1992), Westcourt Coorporation Sdn Bhd v. Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (2006), Kamariah binti Ali v. Kerajaan Negeri Kelantan (2005) dan Pendakwa Raya v. Mohd. Radzi Abu Bakar (2006) yang menjadi rujukan penting dalam bidang perundangan negara.

Cabaran terbesar semasa beliau menjadi Ketua Hakim Negara ialah menangani isu kes-kes tertunggak yang jumlahnya sangat tinggi. Beliau memperkenalkan pelbagai dasar dan arahan, antaranya Arahan Ketua Hakim Negara Bil. 1/2004 dan 2/2004, yang menekankan keutamaan kes jenayah serta usaha mempercepatkan pelupusan kes pra-2000. Hasilnya, dalam tempoh tiga tahun, pencapaian pelupusan kes mencapai 98% bagi kes jenayah dan 95% bagi kes sivil.

Beliau turut memperkenalkan pembaharuan sistem kehakiman melalui penggunaan pengantaraan, konferens penyelesaian, pengkhususan bidang hakim, penggunaan kenyataan saksi, prosedur pra-tindakan, sistem laluan pantas, serta program pengkomputeran mahkamah. Pada tahun 2007, beliau memperkenalkan sistem video conferencing di mahkamah Sarawak dan sistem mahkamah bergerak di Sabah.

Selain itu, beliau menubuhkan Unit Statistik di Mahkamah Persekutuan bagi memantau perjalanan kes serta memperkenalkan laporan tahunan badan kehakiman (2004) dan laman web rasmi mahkamah yang mempamerkan keputusan serta alasan penghakiman. Beliau turut menubuhkan Unit Pengaduan Awam sebagai saluran komunikasi tambahan.

Tun Fairuz mengetuai pelbagai delegasi Malaysia ke luar negara, antaranya ke Jepun, Switzerland, Denmark, Sweden, China dan United Kingdom. Beliau juga menyertai persidangan peringkat Asia Pasifik.

Atas sumbangan besarnya dalam bidang perundangan, beliau menerima pelbagai anugerah termasuk Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun, Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri, Seri Paduka Mahkota Kelantan (SPMK), serta Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan (SJMK).

Dengan segala usaha, kebijaksanaan serta ketegasan beliau dalam memartabatkan sistem perundangan Malaysia, Universiti Teknologi MARA dengan bangganya telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang kepada YAA Tun Dato' Sri Ahmad Fairuz Dato' Sheikh Abdul Halim, Ketua Hakim Negara.

Sumber: Koleksi Penganugerahan Ijazah Kehormat UiTM