
Istiadat Konvokesyen ke 65 (2006)
Corporate Governance atau Tadbir Urus Korporat bukanlah perkara remeh dalam dunia perniagaan. Perkara ini merupakan tunjang utama bagi mencipta kejayaan yang berterusan sebuah syarikat perniagaan. Sejarah telah membuktikan bagaimana Penn Central Railway, gergasi perniagaan keenam terbesar di Amerika Syarikat, jatuh merudum tanpa sebarang isyarat pada tahun 1970. Tadbir urus korporat yang lemah telah menyebabkannya terdedah kepada pelbagai penyelewengan.
Falsafah tadbir urus korporat bukan hanya untuk memastikan syarikat perniagaan diurus dan dikawal bagi kepentingan umum semata-mata. Ia mesti berada pada tahap tertinggi bagi memperseimbangkan objektif ekonomi dan sosial, serta keseimbangan antara individu dengan kepentingan bersama.
Kerangka tadbir urus korporat adalah untuk memastikan sumber digunakan secara efisien yang memerlukan akauntabiliti kepada mereka yang dipertanggungjawabkan. Hakikatnya, tadbir urus korporat bertujuan mensejajarkan secara optimum kesemua kepentingan—individu, syarikat, masyarakat dan negara. Malah dalam konteks yang lebih luas, hal ini merupakan amanah besar kepada pencipta-Nya. Tambahan pula sekiranya organisasi yang dipimpin merupakan organisasi terpenting yang menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan, pembangunan dan pembinaan negara.
Dalam konteks inilah, Tan Sri Dato’ Sri Mohd Hassan Marican, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, sebagai pengamal perakaunan yang berpegang teguh kepada konsep tadbir urus korporat yang cemerlang, telah berjaya membawa PETRONAS mencipta kejayaan yang cukup luar biasa.
Kini, PETRONAS berada di 35 negara, dengan hampir 80 peratus pendapatannya bersumberkan eksport dan perkongsian global. Untuk tahun perakaunan berakhir 31 Mac 2006, PETRONAS mencatat keuntungan kasar kumpulan tertinggi sejak ditubuhkan, iaitu berjumlah RM70.2 bilion. Kata Tan Sri Dato’ Sri Mohd Hassan Marican (2006):
“Kita untung besar tetapi dipulangkan balik kepada kerajaan. Apa yang dibuat oleh kerajaan (dengan duit itu), terpulanglah. Bagi tahun ini (kewangan berakhir 31 Mac 2006), kami pulangkan balik sebanyak RM41.7 bilion dalam bentuk royalti, dividen, cukai dan duti import, jumlah terbesar dalam sejarah PETRONAS. Hasil daripada setiap ringgit yang kami untung, kami pulangkan balik 76 sen kepada kerajaan. Dan sejak 32 tahun lalu, kami sudah pulangkan balik sebanyak RM287 bilion kepada kerajaan. Dalam tempoh lima tahun lalu, jumlah bayaran balik itu meningkat sebanyak 28.1 peratus.”
Sesuai dengan kepimpinan Tan Sri Hassan yang mengikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk, beliau selalunya mengaitkan kejayaan yang tercapai sebagai hasil kerjasama berpasukan yang kuat dalam kalangan kakitangannya. Falsafah dan budaya kerja beliau yang cenderung kepada disiplin, komitmen, profesionalisme, kejujuran dan ketulusan diterapkan secara teratur dan berterusan kepada kakitangan PETRONAS. Hasilnya, Tan Sri Hassan berjaya memimpin PETRONAS mengikut landasan pengurusan yang mementingkan budaya kerja berkualiti dan profesional.
Dalam profesion perakaunan, ketokohan Tan Sri Hassan sebagai insan yang luar biasa sifatnya bermula seawal beliau mendapat didikan formal. Beliau dilahirkan di Sungai Petani, Kedah pada tahun 1952. Bermula di Sekolah Rendah Ibrahim, Sungai Petani, beliau melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK).
Jarang berlaku, kesanggupan beliau pergi ke London untuk menyertai firma perakaunan Touche Ross & Co sebagai article clerk merupakan langkah berani seorang anak muda. Pilihan tradisi unggul dalam bidang perakaunan ini telah melayakkan beliau bergelar Chartered Accountant dan dilantik sebagai Pengurus Audit di firma yang sama. Bagi mereka yang mengerti, jalan yang beliau lalui sebagai seorang pengamal perakaunan adalah jalan terhormat dan bermaruah.
Secara spesifik, Tan Sri Hassan merupakan Fellow Institute of Chartered Accountants in England and Wales, ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Malaysian Association of Certified Public Accountants (MACPA).
Di Malaysia, beliau memulakan kerjaya gemilangnya dengan Tetuan Hanafiah Raslan & Mohamad/Touche Ross & Co. sebagai Akauntan Awam, dan telah dilantik sebagai rakan kongsi pada tahun 1981. Pada tahun 1989, tenaga Tan Sri Hassan diperlukan negara untuk berkhidmat sebagai Naib Presiden Kanan (Kewangan), PETRONAS.
Di PETRONAS, kerjayanya sentiasa seiring dengan kepakaran dan kepintarannya. Buktinya, beliau dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS pada Februari 1995.
Sumbangan PETRONAS kepada pembangunan negara cukup signifikan. PETRONAS dilihat sebagai pemain utama dalam pembangunan teknologi dan perindustrian di Malaysia. Selain daripada pulangan pendapatannya yang besar dan konsisten, PETRONAS juga membuat sumbangan besar kepada pembinaan negara dengan membangunkan modal insan melalui penekanan kepada pendidikan, bagi menunaikan tanggungjawab sosialnya.
Tidak dapat dinafikan, perkembangan pesat PETRONAS yang bermula dengan memberi penekanan terhadap sumber dalam negara, kemudian melebar ke pentas global, adalah hasil pemikiran strategik Tan Sri Hassan. Selari dengan aspirasi negara yang menjadi juara dunia ketiga, PETRONAS mula meneroka penglibatannya di beberapa negara yang kelihatan sukar untuk dihampiri, antaranya Sudan, Iran dan Afrika Selatan.
Tan Sri Hassan berpendapat, perkongsian strategik di peringkat global terlaksana dan diterima baik oleh negara-negara terbabit hasil daripada penerimaan falsafah dan etika kerja PETRONAS. Negara-negara ini pula sangat teruja dengan pengalaman dan pembabitan PETRONAS dalam membantu pembangunan Malaysia dan negara lain. Rekod tadbir urus korporat Tan Sri Hassan dan PETRONAS yang sekian lama teruji menjadi faktor penting yang tidak dinafikan.
Pemikiran Tan Sri Hassan melangkaui sempadan PETRONAS dan negara. Pada tahun 2003, beliau telah mencadangkan penubuhan Bank Pembangunan Islam atau Islamic Development Bank (IDB) pada persidangan World Conference of Islamic Scholars. Ini merupakan satu idea yang dijangka memberi keuntungan ekonomi besar kepada negara-negara Islam, terutamanya dalam konteks mengurangkan beban pinjaman daripada sumber luar.
Tan Sri Hassan adalah Ahli Lembaga Pengarah PETRONAS dan Pengerusi kepada tiga anak syarikatnya yang tersenarai di Bursa Saham Malaysia, iaitu PETRONAS Dagangan Berhad, PETRONAS Gas Berhad dan Malaysia International Shipping Corporation Berhad. Beliau juga merupakan Pengerusi Syarikat Engen Limited, anak syarikat PETRONAS di Afrika Selatan.
Tan Sri Hassan pernah menjadi ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dari 1986 hingga 1994 dan ahli Majlis Amanah Rakyat (MARA). Beliau juga merupakan ahli panel Malaysian Accounting Standards Board dan ahli panel pelaburan Kumpulan Wang Amanah Pencen.
Sumbangan Tan Sri Hassan tidak hanya berkisar pada penglibatan beliau dengan PETRONAS dan profesion perakaunan sahaja. Beliau juga adalah ahli lembaga Malaysia-Thailand Joint Authority yang melihat pembangunan petroleum di kawasan bertindih antara Malaysia dan Thailand. Selain itu, beliau turut menjadi ahli International Investment Council untuk Afrika Selatan, ahli Commonwealth Business Council dan World Economic Forum’s Council untuk 100 pemimpin.
Sumbangan penuh bertanggungjawab Tan Sri Hassan kepada negara tidak berlalu begitu sahaja. Beliau telah menerima pelbagai anugerah, antaranya Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri; Bintang Darjah Seri Paduka Mahkota Terengganu (SPMT) dan Darjah Sultan Mahmud Terengganu Yang Amat Terpuji (DSMT), kedua-duanya membawa gelaran Dato’; serta Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran Dato’ Sri.
Kerajaan Perancis telah menganugerahkan beliau Commandeur De La Légion D'Honneur, diikuti oleh Kerajaan Vietnam yang menganugerahkannya Friendship Medal. Universiti Malaya juga telah menganugerahkan beliau Doktor Kehormat Kejuruteraan pada tahun 2001.
Tan Sri Hassan merupakan penerima pertama anugerah Inaugural Lifetime Achievement Award yang telah disampaikan oleh Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) kerana sumbangannya memperkukuhkan amalan profesion perakaunan sebagai faktor penting dalam perkembangan ekonomi dan perdagangan di Malaysia.
Hari ini, melalui sumbangannya yang begitu membanggakan—terutama sekali dalam pengurusan sebuah organisasi terpenting negara dengan mempamerkan kebolehan luar biasa sehingga ke persada dunia—Universiti Teknologi MARA menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Tadbir Urus Korporat kepada YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Mohd Hassan Marican, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS.
Sumber: Koleksi Penganugerahan Ijazah Kehormat UiTM